Pertukaran Yang di-Pertuan Besar: SUK N Sembilan pegang nasihat AGC
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan mewartakan atau melaksanakan pengisytiharan yang mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baru.
Dalam kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Mohd Zafir Ibrahim, berkata pejabatnya menerima nasihat daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa pengisytiharan itu adalah tidak sah.
Mohd Zafir berkata pejabatnya juga merujuk perkara itu kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil mematuhi undang-undang semasa dan perlembagaan negeri.
"Dari sudut perundangan, pihak pentadbiran ini juga menerima pandangan Pejabat Peguam Negara (AGC) bahawa anggota Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti atau kuasa di bawah perlembagaan negeri untuk membuat sebarang pengumuman berhubung proklamasi tersebut," katanya.
Dia juga menambah tiada asas undang-undang bagi anggota exco untuk bergantung pada proklamasi – yang dipertikaikan sebelum ini – bagi tujuan pengumuman mereka.
Dari segi perundangan, katanya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan akur dengan pandangan AGC bahawa ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan proklamasi tersebut.
"Selain daripada itu, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli exco untuk bersandar kepada proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka," katanya.
Berdasarkan perkara-perkara di atas dan keseluruhan kenyataan media AGC semalam, kata Mohd Zafir, pihaknya menerima nasihat berkenaan.
"Dan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau apa-apa tindakan pelaksanaan terhadap proklamasi tersebut kerana tindakan sedemikian akan menjadi suatu tindakan yang tidak sah serta tidak berperlembagaan," katanya.
/file/attachments/orphans/IsmailBinLasim2_876768.jpg)
Kenyataan tersebut hadir selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim (gambar), semalam memberitahu kerajaan negeri menerima pengisytiharan pelucutan jawatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Tempat itu kemudian digantikan dengan Tunku Nadzaruddin.
Pengisytiharan tersebut dikeluarkan Undang Sungai Ujong, Mubarak Thahak, Maarof Mat Rashad (Jelebu), Muhammad Abdullah (Johol), dan Abdul Rahim Yasin (Rembau), bersama-sama Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong pada 19 April.
Pengisytiharan pertama melucutkan kedudukan Tuanku Muhriz selepas para pembesar itu dikatakan menjalankan siasatan sendiri terhadap pemerintah tersebut pada 5 Mac berhubung dakwaan pelanggaran dalam pelaksanaan tugas baginda.
Mereka berpendapat bahawa pelanggaran – yang tidak diperincikan itu – dilakukan secara sengaja, sekali gus mencemarkan imej institusi diraja.
Pengisytiharan kedua ialah menggesa supaya Tunku Nadzaruddin ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar baru berkuat kuasa serta-merta.
Sebelum ini Ismail mendakwa dia menandatangani proklamasi penurunan Tuanku Muhriz – sehari selepas dia mengangkat sumpan jawatan menteri besar – di bawah tekanan.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan peguam yang mewakili pihak terbabit.
Kelmarin Exco negeri kemudiannya mengumumkan bahawa ia menganggap pengisytiharan berkenaan sebagai sah.
Pertikaian diraja itu menjadi semakin tegang semalam apabila Tunku Nadzaruddin memecat Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Raja Norazli Raja Nordin.
Dalam satu surat bertarikh semalam, Tunku Nadzaruddin menyatakan bahawa keputusan yang berkuat kuasa serta-merta itu dan dibuat mengikut Perkara 25 UUTKNS.
/file/attachments/orphans/TuankuNadzaruddinTuankuJaafar1_742550.png)
