Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno dilanda 'gelombang pertama' akar umbi sertai BERSATU

Seramai 110 ahli Umno cawangan dari bahagian Serdang, Kapar dan kota Damansara menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) malam tadi.

Sepuluh daripadanya mengisytiharkan keluar Umno untuk menyertai BERSATU di majlis Malaysia Bersatu bersama Mukhriz Mahathir di Shah Alam.

Manakala seorang daripada mereka - ketua cawangan Umno Semarak di bahagian Kota Damansara, Jefri Bin Salleh - sebagai wakil turut menyerah 100 lagi borang keahlian dari ketiga-tiga bahagian berkenaan untuk menyertai BERSATU, sambil disaksikan naib presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga bekas menteri besar Kedah.

Pengisytiharaan keluar parti itu diketuai oleh bekas Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Mohd Hamidi Abu Bakar.

Mohd Hamidi Ahad lalu dilapor meninggalkan Umno selepas dicabar oleh salah seorang menteri Umno supaya berbuat demikian.

Pada Mei lalu, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam satu laporan dipetik sebagai mencabar Mohd Hamidi mengikut jejak langkah pemberontak Umno agar keluar daripada parti itu.

Nazri dilapor berkata demikian sebagai respon kepada komen Mohd Hamidi bahawa pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mukhriz dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan menjadi bencana.

Dalam pada itu Mohd Hamidi mendakwa, penyertaan 110 ahli parti itu malam tadi hanyalah gelombang pertama.

Malah, Mohd Hamidi mendakwa beliau akan menarik lebih ramai ahli Umno supaya keluar daripada parti itu.

"Malam ini hanyalah gelombang pertama dan ia akan disusuli dengan gelombang seterusnya. Saya akan mengajak lebih ramai lagi ahli Umno yang akan menyertai BERSATU," katanya.

Antara yang menyertai BERSATU malam tadi ialah AJK Umno bahagian Serdang, Zainurin Ariffin; exco Pemuda dan ketua Umno cawangan di bahagian Kapar, Mahathir Mansor.

Lihat Komen
ADS