Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat terbuka pembantu Rosmah kepada YB muda DAP

Selamat sejahtera YB,

Saya tertarik membaca artikel di portal rasmi parti DAP, Roketkini.com bertajuk “Beri keutamaan kepada pembangunan pendidikan awal kanak-kanak – Bee Yin”.

Saya tertarik kerana akhirnya seorang wakil daripada parti pembangkang (DAP) dapat bersetuju bahawa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak.

Inilah yang diperjuangkan oleh Datin Seri Rosmah Mansor melalui program PERMATA.

Walaupun YB menyatakan sokongan ini tidak bermakna menyokong Datin Seri Rosmah, pada saya itu tidak penting.

Datin Seri Rosmah bukan ahli politik yang mencari sokongan sesiapa.

YB memetik hasil kajian penerima hadiah Nobel dalam lapangan ekonomi, James J Heckman, dalam mempertahankan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak.

Pendidikan awal yang baik, adalah inisiatif awal pembangunan modal insan, akan memberi faedah jangka masa panjang, termasuk kos kebajikan sosial yang rendah, kadar jenayah rendah serta kutipan hasil yang meningkat.

Saya amat bersetuju dengan apa yang YB petik itu. Saya melihat ia selari dengan objektif program PERMATA.

Semua agama, semua bangsa dan semua tamadun di dunia ini mengiktiraf bahawa “anak-anak adalah khazanah dan amanah kita untuk diasuh dan didik dengan penuh perhatian dan kasih sayang semenjak dari lahir lagi, supaya potensi mereka dapat ditonjolkan sepenuhnya”.

YB merungut kos penjagaan kanak-kanak di Lembah Klang adalah tinggi dan bergantung kepada kualiti pusat jagaan.

Malah, YB turut menekankan bahawa kos penjagaan ini menjadi satu bebanan kepada pasangan muda.

Saya bersetuju dengan pendapat YB. Maka itulah antara sebabnya program PERMATA ditubuhkan.

Pusat Anak Permata Negara (PAPN) selain daripada menyediakan pendidikan awal berkualiti kepada kanak-kanak di luar bandar, ia juga menyediakan kemudahan tersebut kepada kanak-kanak di pinggir bandar.

YB, saya mengharapkan YB dapat mengadakan lawatan ke mana-mana PAPN dan kemudian buatlah kesimpulan sendiri.

Lupakan Datin Seri Rosmah sebagai penaung PERMATA tetapi pandanglah Permata Negara sebagai satu program yang menepati apa yang diperkatakan oleh James J Heckman.

YB menyebut PERAMTA menerima peruntukan tinggi saban tahun, tidak ada hala tuju strategik oleh pihak kerajaan, terutamanya perancangan khusus untuk memastikan wujudnya penjagaan kanak-kanak yang bermutu tinggi serta pendidikan prasekolah yang berpatutan dengan kemampuan rakyat terbanyak.

Saya kira dalam hal ini YB tidak bersikap adil kepada masa depan kanak-kanak. Saya percaya YB membuat tuduhan semberono tanpa asas.

Sebaliknya jika YB benar-benar ikhlas memperjuangkan pendidikan awal kanak-kanak, buatlah kajian yang mendalam tentang Permata Negara.

Lupakan Datin Sri Rosmah Mansor sebagai Pengasas PERMATA, tetapi lihatlah Permata Negara sebagai sebuah program yang mampu mengatasi masalah yang YB bangkitkan.

Walaupun YB tidak menyebut secara spesifik tapi saya percaya apa yang diperkatakan YB dapat disimpulkan sebagai “Setiap anak PERMATA Negara, setiap anak begitu berharga dan setiap anak modal insan negara”.

 

Ikhlas daripada,

RIZAL MANSOR

Lihat Komen
ADS