Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin bawa misi khas damaikan PAS, HARAPAN?
Diterbitkan:  Oct 2, 2016 11:41 AM
Dikemaskini: 4:22 AM

Kemunculan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Terengganu malam tadi mungkin cubaan parti itu menyatukan semua parti pembangkang dalam kerjasama rasmi menghadapi BN pada pilihan raya umum akan datang.

Berucap di Kemaman, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata pertemuannya dengan beberapa pemimpin PAS sebelum ini menunjukkan parti berkenaan menunjukkan minat mewujudkan formula satu lawan satu di semua kawasan ditandingi.

Bekas timbalan perdana menteri itu menjelaskan pertemuan itu dibuat sebelum beliau menubuhkan BERSATU.

Antara pemimpin PAS yang ditemui ialah Datuk Seri Abdul Hadi Awang (presiden), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (timbalan presiden) dan Datuk Mustafa Ali (pengarah pilihan raya).

Kata Muhyiddin beliau turut berbincang dengan PKR untuk mewujudkan "muafakat pilihan raya".

"Dan kalau kita dapat rungkaikan dengan terperinci (sebarang isu berbangkit) sama ada antara BERSATU dengan PAS atau Pakatan Harapan dengan sebaik mungkin, saya percaya sampai masanya untuk kita jalinkan (kerjasama antara pembangkang) dalam bentuk konkrit," katanya.

PAS pernah bergabung dengan PKR dan DAP membentuk Pakatan Rakyat pada selepas pilihan raya umum ke 12 pada 2008.

Gagasan itu berjaya memberi kesan besar kepada gerakan politik negara selain menafikan penguasaan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.

Masa sudah sampai

Bagaimanapun kerjasama berkenaan berakhir pada Jun 2015 selepas hubungan DAP dan PAS bertukar menjadi buruk.

Pada masa sama sekumpulan pemimpin dan penyokong PAS dari aliran progresif diketepikan daripada parti berkenaan dan membentuk Parti Amanah Negara (AMANAH) dan bergabung dalam Pakatan Harapan.

PAS menegaskan tidak akan bekerjasama dengan DAP dan AMANAH.

Kata Muhyiddin pertemuan dengan pemimpin kanan PAS menujukkan parti berkenaan mempunyai matlamat bersama iaitu mengalahkan BN.

Justeru beliau memuji PAS kerana menegaskan parti berkenaan tidak berminat untuk mengadakan "muafakat" dengan Umno.

Ketika ini kata Muhyiddin BN mungkin sedang mempertimbangkan cadangan mengadakan pilihan raya umum lebih awal kerana keadaan pembangkang yang tidak bersatu.

"Tetapi kalau kita boleh duduk bersama-sama dan berbincang mencapai muafakat untuk wujudkan satu barisan pembangkang atau pakatan untuk pilihan raya, atau perjanjian kerjasama pilihan raya, makan BN perlu fikir semasak-masaknya untuk buat pilihan raya umum sekarang atau menundanya," kata beliau.

Perbincangan dengan Mustafa juga kata Muhyiddin menunjukkan rakyat sudah bersedia untuk membuat perubahan dan mengalahkan BN.

Keadaan itu katanya didorong oleh kerana rakyat sudah tidak boleh menanggung rasa akibat "penindasan dan salah guna kuasa" kerajaan hari ini.

"Dan kalau rakyat sudah bersedia, tak kiralah apa parti yang ada di sebelah sini (pembangkang) - baik BERSATU, PAS, IKATAN (Parti Ikatan Bangsa Malaysia) atau Pakatan Harapan - sampai masanya kita wujudkan kerjasama ini," katanya.

Lihat Komen
ADS