Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
32 NGO mahu IGP siasat, tangkap, dakwa pemimpin baju merah
Diterbitkan:  Oct 4, 2016 3:38 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Seramai 32 pertubuhan masyarakat madani hari ini tampil menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya segera menyiasat, menangkap dan mendakwa Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus dan pengikut-pengikutnya.

Menurut mereka, ini adalah atas kesalahan ugutan jenayah dan keganasan terhadap peserta-peserta konvoi BERSIH 5 pada 1 Oktober lalu.

Mereka berkata penunjuk perasaan baju merah bukan sahaja mengekori konvoi BERSIH 5 di Lumut tetapi turut merampas bendera, menendang kereta, dan menumbuk cermin sisi kenderaan.

Di Teluk Intan, NGO berkenaan berkata konvoi BERSIH juga dihalang oleh protes baju merah yang diketuai oleh Jamal, yang cuba merampas bendera yang dibawa oleh tiga peserta BERSIH dan menumbuk seorang lelaki. 

“Beberapa peserta BERSIH juga telah tercedera dalam kekecohan yang berlaku selepas itu.

"Kami mengecam perbuatan samseng dan ganas yang dilakukan oleh Jamal dan
penyokongnya.

“Mereka berlagak seperti samseng yang tidak memperdulikan undang-undang dan seakan-akan pihak polis tidak dapat berbuat apa-apa terhadap mereka,” kata mereka.

Antara pertubuhan itu termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Angkatan Warga Aman Malaysia (WargaAMAN), Majlis Perundingan Malaysian Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Proham dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Merujuk kepada dua kejadian di Perak itu, kumpulan masyarakat madani berkata gerakan baju merah  itu berlagak seperti samseng dan polis pula seakan-akan tidak dapat berbuat apa-apa.

“Kami terkejut kerana Jamal masih boleh bergerak bebas di negara ini setelah melakukan tindakan ganas yang disaksikan oleh ramai orang dan video rakaman juga diviralkan di media sosial.

“Ke mana perginya Ketua Polis Negara yang begitu ghairah menghantar tweet arahan kepada pegawainya untuk melakukan tangkapan apabila rakyat umum sekadar membuat komen terhadap isu kepentingan awam secara aman dalam media sosial?” soal mereka.

Menurut mereka, jika tiada dakwaan jenayah dikenakan terhadap Jamal dan penyokong-
penyokongnya, sudah tentu akan menjadi satu tanda tanya sama ada tindakan mereka itu mendapat sokongan politik dari pihak berkuasa tertentu.

“Kegagalan Ketua Polis Negara untuk menangkap dan mendakwa Jamal dan pengikut-pengikutnya yang melakukan ugutan dan keganasan, malangnya akan menunjukkan
bahawa Malaysia sekarang diperintah oleh samseng dan bukannya lagi oleh undang-undang,” kata mereka.

NGO itu berkata walaupun Jamal dan penyokongnya berhak berhak untuk berpegang kepada pendapat mereka dan bebas untuk menyuarakan bantahan terhadap konvoi BERSIH dan hak untuk tidak bersetuju, mereka bagaimanapun perlu berbuat demikian dengan cara yang aman tanpa perlu menggunakan keganasan.

“Jamal jelas telah melanggar undang-undang dengan menyerang orang lain secara fizikal dan dia
sepatutnya telah ditangkap sekarang,” kata mereka.

Dalam perkembangan yang sama, NGO berkenaan turut memuji polis kerana berjaya mengekalkan keamanan di negeri lain yang dilalui oleh konvoi itu.

 

Lihat Komen
ADS