RM25,000 baiki kebocoran bumbung bangunan Parlimen
Kebocoran bumbung bangunan Parlimen yang berlaku minggu lalu sudah diatasi dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S.Samy Vellu memberi jaminan perkara seumpama itu tidak akan berulang lagi.
Kebocoran bumbung bangunan Parlimen yang berlaku minggu lalu sudah diatasi dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S.Samy Vellu memberi jaminan perkara seumpama itu tidak akan berulang lagi.
Menurutnya, syarikat yang bertanggungjawab mengubahsuai bangunan Parlimen Syarikat Pembinaan Anggerik Sdn Bhd menanggung sendiri kos membaiki kebocoran itu yang berjumlah RM25,000.
Menurut laporan Bernama, s aripada jumlah itu, RM20,000 adalah bagi kos pengubahsuaian kipas dan RM5,000 bagi kos pembaikan.
Samy Vellu menyifatkan kebocoran itu sebagai perkara kecil sahaja dan tidak perlu dibesar-besarkan.
"Ia berlaku bukan kerana `pengubahsuaian' yang tidak betul. Kita tidak akan mengambil tindakan terhadap kontraktor terbabit," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan yang bocor di dalam Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, kebocoran tersebut hanya menyebabkan sedikit kerosakan pada siling plaster dewan di bahagian yang bocor dan menyebabkan permaidani dan kerusi basah. Kebocoran berlaku kira-kira jam 3.45 petang pada 28 April lalu hari terakhir persidangan Dewan Rakyat.
Samy Vellu berkata, kebocoran itu berpunca daripada kanvas laluan lubang sesalur kipas penyedut asap di bahagian bumbung tertanggal berikutan hujan lebat.
Sebenarnya, kata beliau, kerja menaik taraf yang melibatkan bahagian bumbung Dewan Rakyat dan Dewan Negara belum dilakukan dan akan dimulakan setelah kerja menaik taraf Dewan Negara selesai.
Sidang dewan
Dewan Rakyat telah diubahsuai oleh Syarikat Pembinaan Anggerik Sdn Bhd mulai 13 Nov 2003 dan mula digunakan pada 18 Mei tahun lalu.
Kos keseluruhan pengubahsuaian bangunan Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) melibatkan RM60 juta, kata Samy Vellu.
Diminta pandangan beliau mengenai kebocoran itu, Samy Vellu berkata: "Ia tidak sepatutnya berlaku, tetapi telah berlaku. Tetapi bukan kebocoran yang besar, kecil sahaja... .
Beliau berkata tiada bangunan yang tidak mempunyai masalah dan masalah kebocoran yang menimpa bangunan Parlimen merupakan perkara kecil yang tidak perlu diperbesar-besarkan.
Sementara itu, Ketua Pembangkang dan anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang ketika bercakap kepada pemberita di ruang legar bangunan Parlimen, berkata Dewan Rakyat patut dipanggil bersidang untuk dua hari lagi pada minggu terakhir Mei selepas persidangan Dewan Negara selama 12 hari selesai pada 19 Mei.
"Ia bagi menyambung persidangan yang tergendala akibat kejadian kebocoran itu," katanya.
Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan pada Khamis lalu sehingga persidangan pada Jun berikutan kejadian kebocoran itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.