Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi ‘tinggalkan’ Dewan Rakyat, hanya diam dan senyum

Meskipun sidang Dewan Rakyat masih berlarutan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi dilihat meninggalkan persidangan hari ini.

Beliau hanya berdiam diri ketika diajukan soalan mengenai usul persendiriannya yang telah diturunkan ke senarai nombor tujuh dalam kertas perintah bagi sesi terakhir Parlimen tahun ini.

Malah anggota parlimen Marang itu juga hanya tersenyum ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan sebelum kereta yang dinaikinya meninggalkan Dewan Rakyat.

Hari ini, usul kontroversi 'hudud' Abdul Hadi telah ditolak ke bawah dalam kertas perintah.

Usul bagi membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), telah diturunkan daripada senarai nombor empat semalam kepada nombor tujuh hari ini.

Ia diturunkan apabila lebih banyak usul kerajaan dimasukkan dalam senarai.

Lazimnya, usul kerajaan didahulukan berbanding usul persendirian.

Dengan kedudukan di bawah senarai itu, ada kemungkinan usul Hadi tidak akan dibawa ke Dewan.

Malah, ia mungkin terus ditolak lebih bawah pada kertas perintah itu berikutan hari-hari akan datang.

Bermula minggu depan, debat parlimen akan memberi tumpuan kepada Bajet 2017 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat ini.

Perbahasan hanya akan beredar kepada perkara-perkara lain pada dua hari terakhir sesi Parlimen ini, yang berakhir pada 24 November.

Jika usul itu terus ditolak ke bawah, peluang Hadi adalah hanya jika beliau memohon kerajaan menaikkannya.

Ini yang berlaku pada sesi Parlimen lalu, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berbuat demikian atas arahan Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Lihat Komen
ADS