Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi mengakui tidak terlepas daripada mendengar keluh-kesah rakyat negara ini yang kian terbeban dengan pelbagai kesempitan ekonomi terutama kos sara hidup yang semakin meningkat.

Justeru, ujar beliau yang merupakan ikon Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bajet 2017 masih mampu untuk menjadi platform kepada kerajaan untuk 'mengubati' kesulitan rakyat.

Jelas beliau, suara rakyat yang berada dalam kegelisahan semakin kuat didengari dan sewajarnya keresahan mereka diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

"Semua orang mengeluh sekarang, semua orang bercakap tentang 'kesakitan' ekonomi dan kehidupan, kita tidak boleh bermain wayang,” katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif bersama beliau, semalam.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Aznil, 53, yang popular dengan gelaran Pak Nil berkata kehidupan rakyat tidak boleh digambarkan meriah kerana pada realitinya mereka tidak boleh diletakkan dalam situasi senang mahupun selesa.

Sebagai contoh, Aznil membandingkan kadar pertukaran wang terlalu tinggi menyebabkan kesukaran untuk bersaing dengan kehidupan dari negara lain atas sebab pelbagai faktor.

Masalah kewangan turut menghimpit penggiat seni yang terkapai-kapai untuk kekal dalam bersaing dalam industri yang saiznya kecil.

Lihat Komen
ADS