Di sebalik kesedihan yang begitu memedihkan, Dr Mahathir Mohamad memilih untuk tetap melihat sisi damai yang hadir selepas pasangannya selama 70 tahun, Hasmah Mohamad Ali, meninggal dunia baru-baru ini.

Bagai bekas perdana menteri itu, dalam kesedihan seseorang perlu tetap tidak melupakan detik untuk menghargai apa yang diberikan oleh Tuhan.

Dalam kenyataan hari ini, Mahathir, 101, turut menggambarkan pemergian teman hidupnya mengharungi saat suka duka itu amat menyakitkan.

“Ia mengingatkan saya, dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” katanya.

Mahathir dan Siti Hasmah berkahwin pada 4 Ogos 1956 selepas berkenalan ketika kedua-duanya menuntut dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine di Singapura.

Perkahwinan mereka bertahan selama 70 tahun, merentasi kehidupan berkeluarga, kerjaya perubatan dan perjalanan panjang Mahathir dalam politik negara.

Hasmah, 100, meninggal dunia pada 28 Sept lalu selepas dimasukkan ke hospital pada 26 Okt.

Sepanjang menjadi isteri Mahathir, Hasmah setia menemani Mahathir termasuk semasa ahli politik terbabit menjadi perdana menteri sebanyak dua kali.

Di sebalik statusnya sebagai isteri perdana menteri, Hasmah tidak pernah menonjol dalam politik atau dilihat mencapuri sebarang urusan pentadbiran, sebaliknya kekal sebagai tokoh di sebalik tabir.

Dia juga banyak terlibat dalam kegiatan amal serta kemasyaratakat. Pada masa sama dia dilihat begitu dekat dengan sukan badminton.

Hasmah juga diingati sebagai wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Kedah pada 1974.

Dalam kenyataan hari ini, Mahathir turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Hasmah, selain orang ramai yang terus mendoakan wanita terbabit, sama ada ketika menziarahi pusara mahupun dari tempat masing-masing.

Mahathir turut menjelaskan bagaimana sehari dua ini dia cuba ke pejabat namun tidak dapat berbuat demikian kerana belum cukup kuat.

“Saya juga mengambil peluang ini untuk meminta maaf jika sepanjang tempoh ini ada salam yang tidak saya sambut, lambaian yang tidak saya balas serta ucapan takziah yang belum saya jawab,” tambahnya.