Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penjawat awam tak sokong kerajaan? Berhentilah, kata JASA
Diterbitkan:  Oct 23, 2016 3:25 PM
Dikemaskini: 12:21 PM

Penasihat Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz meminta para penjawat awam yang tidak boleh menjadi kakitangan yang baik dan menyokong kerajaan agar meletakkan jawatan.

Bekas exco Pemuda Umno itu berkata, jika penjawat awam sedemikian meletakkan jawatan, masih ramai rakyat negara ini yang akan mengisi kekosongan jawatan tersebut.

"Apa khabar penjawat awam? Kalau rasa tak boleh jadi penjawat awam yang baik dan menyokong kerajaan, sila letak jawatan.

"Ramai yang nak ganti..," kata beliau dalam laman tweetnya yang turut meletakkan #Bajet2017.

Semasa pembentangan belanjawan tersebut, kakitangan awam yang mengharapkan bonus pada Bajet 2017 kecewa kerana apabila Najib hanya mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 yang akan dibayar kepada 1.6 juta penjawat awam.

"Kepada kakitangan awam, saya tahu kamu tak tidur lena jika saya tidak mengumumkan perkara ini. Saya ada berita baik.

"Sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan yang terpuji oleh penjawat awam, saya dengan sukacitanya mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM250 untuk pesara kerajaan.

“Bayaran ini akan dibuat pada awal Januari 2017," kata Najib.

Ini adalah tahun kedua kakitangan awam diberikan 'bantuan khas' dan bukannya bonus.

Namun begitu, Najib turut mengumumkan kelayakan pinjaman perumahan untuk penjawat awam dinaikkan daripada serendah RM120,000 kepada RM200,000 manakala pinjaman paling tinggi pula daripada RM600,000 kepada RM750,000.

“Selain itu, kerajaan memutuskan bahawa had pinjaman pembelian motosikal untuk penjawat awam akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000,” ujar Najib.

Beliau turut mengumumkan kemudahan pembiayaan untuk pembelian komputer diperluaskan meliputi pembelian telefon pintar dengan had pinjaman sehingga RM5,000 untuk setiap tiga tahun.

“Kontrak pegawai penjawat awam yang terlibat dengan contract of service dan contract for service yang akan tamat penghujung tahun ini, akan dilanjutkan sekurang-kurangnya setahun lagi.

“Selain itu, sebanyak 30,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia akan disiapkan dengan harga jualan antara RM90,000 hingga ke RM300,000,” katanya.

Lihat Komen
ADS