Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata jika tiga bekas menteri kabinet yang bimbang terhadap nasib 1MDB itu bersifat gentlemen, mereka sepatutnya menyuarakan isu berkenaan semasa masih dalam kerajaan.

Kata speaker Dewan Rakyat itu bantahan mereka terhadap perjalanan syarikat pelaburan milik kerajaan itu wajar dikemukakan lebih awal.

"Kalau (mereka) gentleman, kenapa semasa dalam kabinet tidak kata: Saya tak bersetuju (dengan 1MDB)?" katanya menjawab soalan media di parlimen hari ini.

Beliau sebelum itu ditanya mengenai siasatan yang dijalankan polis ke atas tiga bekas menteri - Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah - berhubung ucapan mereka di Dewan Rakyat semasa membahaskan belanjawan baru-baru ini.

Dalam ucapan mereka, ketiga-tiga bekas pemimpin kanan Umno itu menyentuh isu 1MDB yang berkait rapat dengan Datuk Seri Najib Razak.

Muhyiddin dilantik ahli Umno menjadi timbalan presiden parti itu manakala Mohd Shafie menduduki jawatan naib presiden. Ahmad Husni adalah anggota majlis tertinggi serta bendahari parti berkenaan.

Muhyiddin dipecat daripada jawatannya dan Mohd Shafie digantung keahlian sebelum beliau sendiri mengumumkan keluar dari Umno. Ahmad Husni setakat ini meletak semua jawatan dalam parti tetapi masih mengekalkan keahliannya bersama Umno.

Pembangkang membantah tindakan polis menyiasat ketiga-tiga mereka dan mendakwa Muhyiddin, Mohd Shafie dan Ahmad Husni sepatutnya dilindungi kekebalan parlimen.

Kata Pandikar beliau tidak mempunyai kuasa mengarahkan polis menghentikan siasatan itu seperti diharapkan pembangkang.

Beliau juga menjelaskan bukan kuasanya menentukan kekebalan anggota parlimen turut membabitkan Akta Rahsia Rasmi.

"Biar mahkamah tentukan. Ia bukan tanggungjawab saya untuk mentafsir perlembagaan atau undang-undang. Saya (hanya) mentafsirkan perintah mesyuarat (Dewan Rakyat)," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS