Jamal ajak naik heli tengok 'kekayaan' pemimpin AMK

       

Datuk Seri Jamal Md Yunos mempelawa enam orang wartawan bersamanya menaiki helikopter untuk meninjau “kekayaan” seorang pimpinan muda PKR di Kuala Lumpur, esok.

Dakwanya, pemimpin 28 tahun itu memiliki banglo dan pelbagai kereta mewah meskipun baru sepenggal memegang jawatan dalam parti berkenaan.

“Terbongkar sebuah kisah bagaimana seorang yang berumur 28 tahun memegang jawatan daripada PKR tak sampai sepenggal memiliki kekayaan yang sangat luar biasa… rumah banglo, kereta berbelas biji, kereta berjuta-juta (ringgit),” katanya.

Beliau justeru mengundang media menaiki helikopter bersamanya esok.

“Saya nak jemput media. Saya ditawarkan oleh rakan saya naik helikopter dan pelawa enam orang media untuk lihat kekayaan (itu).

“Esok pada 12 tengah hari,” katanya kepada pemberita di luar balai polis Pandan Indah.

Katanya lagi, media juga boleh berkumpul di rumah pemimpin tersebut pada waktu yang sama.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas pemimpin Pemuda PKR (AMK) itu.

Nik Nazmi: Lapor pada pihak berkuasa

Sementara itu Ketua Pemuda PKR (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini adalah pertama kali pihaknya mendengar dakwaan berhubung ‘anak buahnya’.

Bagaimanapun katanya, Jamal boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sesuatu isu yang serius.

“Ini baru pertama kali saya dengar isu ini. Dia nak naik helikopter ikut dialah.

“(Sebelum ini) tak ada isu, kita tak terima apa-apa (maklumat). Kalau dia (pimpinan AMK itu) penjawat awam lain lah, tapi kita tak terima apa-apa.

“Tapi kalau dia (Jamal) ada isu yang serius laporkan pada pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan risalah BERSIH di Masjid Jamek.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda