Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hentikan 'cakap keras' atau akan ada pergaduhan - Pandikar

Wakil rayat perlu menghentikan kata-kata nista dan cercaan sesama sendiri jika tidak mahu perbezaan pendapat mereka bertukar menjadi fizikal, kata Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Kalau saya tidak cakap keras begini, suatu hari (nanti) akan ada pergaduhan seperti di parlimen-parlimen lain.

“Secara fizikal bukan sahaja bertengkar secara mulut,” kata Pandikar.

Pandikar berkata demikian selepas berang dan menegur Dewan Rakyat semalam berhubung pertikaman lidah tercetus apabila Timbalan Menteri Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Teresa Kok (DAP- Seputeh) adalah seorang wanita dengan 'Kok'.

Nama keluarga Kok adalah fonetik serupa dengan perkataan slanga untuk alat kelamin lelaki.

“Setiap kali saya mempengerusi, setiap kali timbalan-timbalan saya pengerusikan majlis, diingatkan, jangan guna perkataan-perkatan yang mengundang seperti begini,” katanya dengan nada yang tegas.

Pandikar memasuki Dewan untuk menggantikan Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamad Said apabila Kasthuri Patto (DAP-Batu Kawan) bangkit dalam usaha untuk mengheret Tajuddin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Kasthuri juga mendakwa Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee berkata beliau akan menangguhkan keputusan ke atas Tajuddin, dan membiarkan Pandikar membuat keputusan.

Pandikar bagaimanapun tegas memberitahu ahli parlimen DAP itu bahawa Hansard jelas menunjukkan bahawa Ronald telah membuat keputusan.

Ronald semalam enggan untuk mengarahkan Tajuddin supaya menarik balik kenyataannya terhadap Kok dan berkata timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu hanya merujuk kepada nama keluarga pemimpin wanita DAP itu.

Oleh itu, Pandikar berkata mengikut Peraturan Mesyuarat, usul perlu dibentangkan jika mereka mahu mengkaji semula keputusan Ronald.

Dalam menegur Kasthuri, speaker berkata tidak ada keperluan untuk membawa Tajuddin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana apa yang diperkatakannya adalah jelas, dan bukan sesuatu yang perlu disiasat.

Beliau kemudian menegaskan bahawa Hansard menunjukkan kata-kata kesat telah dilemparkan dalam sesi semalam, termasuk perkataan sial.

Ini merujuk kepada Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) yang melabelkan Tajuddin sebagai sial selepas beliau tidak mahu memohon maaf kepada Kok.

Pandikar juga menegaskan bahawa beliau telah membenarkan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) membidas Tajuddin ketika membahaskan bajet bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam.

Speaker berkata kejadian semalam harus menjadi pengajaran kepada semua ahli parlimen agar tidak mengundang tindakbalas negatif.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS