Paling Popular
Terkini

Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok (DAP) mungkin marah kepadanya tetapi pada tanggapan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, ramai wanita masih tetap sayang kepadanya.

Ditemui media dan didesak sekali dengan soalan mengenai Kok, timbalan menteri pertanian dan industri asas tani hari ini berkata apa yang cuba dilakukannya pada hari kontroversi itu tercetus ialah beliau cuba menjawab soalan yang dikemukan dalam Dewan Rakyat.

"Dan dia (gelak) kekekekeke. Apa punya perangai macam tu?" katanya kepada media ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Nama Tajuddin menjadi sebutan ramai ekoran kenyataannya yang menyebut anggota parlimen Seputeh itu sebagai satu-satunya wanita yang ada "Kok".

"Yang Seputeh ini kekekek ini kenapa?

“Satu-satunya perempuan yang ada 'Kok' ini ada di Seputeh,” kata Tajuddin.

Walaupun memang nama ahli politik DAP itu mempunyai perkataan berkenaan sebagai nama keluarga, namun ia boleh mengundang salah tafsir dan 'lucah' apabila dinyatakan secara lisan.

Ia turut mencetuskan perang mulut antara Tajuddin dan Khalid Samah (AMANAH-Shah Alam).

Kata Tajuddin tindakan Kok itu mengganggunya memberikan jawapan dalam sidang Dewan Rakyat.

Beliau turut beranggapan Kok bertindak keterlaluan kerana tidak mematikan suis mikrofon di depannya.

Ditanya sama ada Tajuddin bertindak begitu kerana Kok menghinanya, katanya beliau tidak suka diganggu ketika menjalankan tugas.

Tajuddin juga sebelum ini menafikan beliau antiwanita.

"Kalau saya ni teruk sangat, menekan wanita, (tentu) tak ada sesiapa menyokong saya.

"Kalau kamu datang ke tempat saya (Pasir Salak) semua gadis, wanita, muda tua sayang saya," katanya.

Tajuddin turut menegaskan beliau mendapat mesej daripada wanita di kawasan itu yang menyatakan sokongan kepadanya dalam kontroversi Kok.

Untuk makluman Tajuddin adalah ketua Umno di bahagian berkenaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS