Rayuan Guan Eng, Belanjawan 2027 penentu talian hayat Anwar
Anggota Parlimen Bagan Lim Guan Eng membuat rayuan saat akhir kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membentangkan pelepasan cukai yang bermakna dalam Belanjawan 2027, sambil menyifatkannya sebagai peluang terakhir kerajaan untuk membolehkan pengundi merasai manfaatnya sebelum pilihan raya umum akan datang.
Rayuan bekas menteri kewangan itu dibuat menjelang pembentangan Belanjawan 2027 oleh Anwar di Dewan Rakyat esok.
“Secara jujurnya, ini belanjawan terakhir yang kita ada untuk membolehkan rakyat merasai manfaat belanjawan,” kata Lim kepada Malaysiakini di Parlimen hari ini.
Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Anwar berkata pertumbuhan ekonomi sahaja tidak mencukupi ketika rakyat terus berdepan tekanan kos sara hidup. Dia memberi jaminan bahawa Belanjawan 2027 akan meringankan beban mereka dan memastikan hasil pembangunan dinikmati secara lebih saksama.
Lim hari ini menarik perhatian bahawa walaupun Anwar membentangkan Belanjawan 2028, masa tidak mencukupi untuk langkah-langkah dalam belanjawan tersebut berkuat kuasa sebelum pengundi membuang undi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/cc161722d73d17786cd778de6667b05e.png)
“Anwar akan membentangkan belanjawan 2028, tetapi dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk rakyat merasai manfaatnya kerana pilihan raya akan berlangsung ketika itu.
“Jadi ini belanjawan terakhir. Sama ada anda lakukannya, atau tidak,” katanya.
Parlimen semasa mula bersidang pada 19 Dis 2022, dengan tempoh maksimum lima tahun yang berakhir pada Disember 2027.
Pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran, yang bermaksud pengundi perlu menentukan pilihan mereka menjelang Februari 2028, melainkan pilihan raya diadakan lebih awal.
Belanjawan persekutuan dibentangkan secara tahunan di Dewan Rakyat, lazimnya semasa mesyuarat ketiga dan terakhir Parlimen untuk tahun berkenaan yang bermula pada Oktober, diikuti belanjawan negeri di Dewan Undangan Negeri masing-masing.
Dalam rayuannya kepada Anwar, Lim mencadangkan peningkatan pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, menaikkan pelepasan cukai pendidikan dan kesihatan sebanyak RM1,000 setiap satu, serta memansuhkan cukai perkhidmatan lapan peratus ke atas rumah jagaan warga tua swasta.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/2cabe83fd5c41f037a31be17e5c97fb6.png)
“Apa yang boleh kita lakukan untuk membolehkan rakyat merasai manfaat belanjawan adalah dengan meningkatkan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 sekarang kepada RM12,000.
“Ia tidak pernah dinaikkan sejak 2010, sudah 17 tahun. Tiba masanya ia dinaikkan sebanyak RM3,000 berdasarkan kadar inflasi sepanjang 17 tahun lalu,” katanya.
Dia turut menggesa pelepasan diberikan kepada mereka yang menjaga ibu bapa warga emas dengan memansuhkan cukai perkhidmatan, yang menurutnya dikenakan ke atas rumah jagaan warga tua swasta sejak September.
Lim berkata cadangan tersebut disampaikan kepada Anwar, namun dia membuat “usaha terakhir” bagi mendapatkan bantuan untuk pembayar cukai individu selepas menumpukan perhatian kepada sektor perniagaan semalam.
/file/attachments/orphans/lim_313167.png)
