Rafizi: Rakyat akan terima GST, subsidi dipotong jika dapat lebih banyak manfaat
Dakwaan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim lebih mengutamakan undi berbanding pembangunan dasar nampaknya masih menjadi perkara yang tidak disenangi bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Ketika membentangkan Belanjawan Bayangan 2027 Bersama, pemimpin bersama parti itu berkata walaupun cadangan reformasi fiskal yang dikemukakan dalam dokumen berkenaan mungkin dianggap tidak popular, ahli politik tidak seharusnya terlalu cepat merendahkan rakyat.
Selain mencadangkan pemansuhan beberapa bantuan tunai dan subsidi bahan api Budi95 bagi menggantikannya dengan bantuan bulanan yang lebih bersasar, belanjawan bayangan itu turut mencadangkan pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan kadar maksimum lima peratus.
"Kalau tanya kepada Datuk Seri Anwar ini sebagai Menteri Kewangan, dia akan kata kalau ikut kepala Rafizi, dia akan kalah sebagai Perdana Menteri.
"That's usually apa yang the polisi clash that I usually have with Anwar Ibrahim. Dia tak cakap depan sayalah, dia cakap belakang saya. Selalunya dia akan kata kalau ikut, "Yeah, no argument! Sebab apa yang ini kena bagi, ini kena stronger?" He said, "No argument!
/file/attachments/orphans/pmx1sdd_635776.png)
"Tapi kalau ikut kepala dia (Rafizi), orang takkan undi kita, jadi kita tak boleh buat ni sebab nanti rakyat marah.
"Saya tidak fikir kita patut terlalu merendahkan atau memandang rendah rakyat, kerana kita semua didorong oleh naluri asas manusia yang sama - kita mahu mendapatkan manfaat yang maksimum dan mendapat tawaran yang terbaik," tegas Rafizi ketika berucap di Ibu Pejabat Bersama di Puchong malam tadi.
Sehubungan itu Rafizi berkata jika kerajaan bersedia melaksanakan "reformasi penting" bagi memperbaiki kedudukan kewangan negara, ia berkemungkinan dapat meraih sokongan pengundi dengan menjelaskan bagaimana langkah berkenaan akan membawa manfaat kepada rakyat.
"Jika kerajaan mampu membuktikan bahawa dengan beralih daripada cara melakukan sesuatu yang tidak cekap kepada apa yang kita anggap lebih baik, didorong pertumbuhan, (dan) dapat memastikan agihan yang lebih adil, tetapi pada masa sama rakyat sebenarnya menerima lebih banyak setiap bulan, saya fikir kita boleh menjelaskan perkara itu kepada rakyat," katanya.
Merujuk perkara yang digariskan dalam belanjawan bayangan Bersama, Rafizi memberikan contoh isi rumah B40 yang akan kehilangan kira-kira RM215 sebulan susulan penggantian subsidi tertentu dengan "program bantuan keselamatan sosial yang diinstitusikan".
Bagaimanapun, katanya, isi rumah berkenaan, yang menurut cadangan belanjawan bayangan itu akan ditentukan berdasarkan pendapatan boleh guna bersih, akan menerima bantuan bulanan sebagai ganti, termasuk elaun bahan api, bantuan anak dan pencen sosial bagi warga emas yang layak.
"Jika mengambil kira semua skim ini di bawah jaringan keselamatan sosial yang diinstitusikan, mereka akan menerima kira-kira RM582 sebulan - itulah nilai yang ditawarkan.
"Mereka mungkin perlu melepaskan RM215 sebulan daripada kaedah subsidi yang tidak cekap dan cara segala-galanya diuruskan sekarang, tetapi jika mereka menerima pindahan bulanan RM582, itu bermakna tambahan RM367. Begitu juga dengan isi rumah M40, sebagai contoh," katanya.
/file/attachments/orphans/WhatsApp-Image-2026-10-07-at-9402_411322.jpg)
Mengulas cadangan belanjawan bayangan itu untuk memperkenalkan semula GST, Rafizi mengakui dia sebelum ini mengkritik cukai penggunaan itu sebagai kaedah "regresif" yang berpotensi menyebabkan isi rumah berpendapatan rendah menanggung beban cukai yang tinggi.
Rafizi pernah menentang pelaksanaan GST di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak pada 2015. Selepas meletakkan jawatan daripada Kabinet Anwar tahun lalu, dia terus memberi amaran terhadap bentuk cukai itu yang menurutnya akan menyebabkan "orang biasa akhirnya membayar".
Pendirian terhadap cukai itu tidak berubah, dengan bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata hanya kira-kira 1.2 juta daripada kira-kira 16 juta pekerja di Malaysia memperoleh pendapatan yang cukup untuk membayar cukai pendapatan. Justeru, peralihan kepada GST akan menyebabkan beban cukai lebih banyak ditanggung golongan paling miskin.
Bagaimanapun, dia berkata apa yang berubah dari semasa ke semasa ialah kedudukan fiskal negara, sambil memberi amaran bahawa tanpa reformasi yang diperincikan dalam belanjawan bayangan Bersama, bayaran faedah hutang kerajaan boleh mencecah RM70 bilion setahun menjelang 2030 dan hampir menghapuskan ruang fiskal.
Membandingkan keadaan itu dengan seseorang yang menerima gaji RM3,000 pada hari pertama bulan tetapi hanya mempunyai RM5 untuk meneruskan kehidupan bagi 29 hari berikutnya selepas membayar segala komitmen, Rafizi berkata sistem GST yang direka dengan baik, dilengkapi perlindungan, pengawasan tadbir urus dan langkah ketelusan, kini merupakan sesuatu yang "meyakinkan".
"Sebagai pertukaran untuk kembali kepada GST, apakah bentuk perjanjian antara generasi yang boleh kita tawarkan kepada rakyat Malaysia, (khususnya) mereka yang semakin berusia, Gen Z dan golongan milenial yang perlu menanggung beban cukai utama dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, serta generasi akan datang?" katanya.
"Jika (rangka kerja GST yang dicadangkan Bersama) memberi kita laluan ke arah belanjawan seimbang dan lebihan dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya tidak fikir banyak perkara yang boleh kita pertikaikan."
"Sudah tentu, keputusan akhir tidak pernah hanya berkisar soal ekonomi, dasar atau merit antara satu dasar dengan dasar yang lain, sebaliknya ia sentiasa berkaitan politik," katanya dalam sesi panel selepas pembentangan belanjawan bayangan itu.
Turut hadri dalam majlis itu ialah pemimpin bersama Bersama dan bekas Ahli Parlimen PKR Wong Chen, yang menyifatkan kadar GST lima peratus seperti dicadangkan dalam belanjawan bayangan itu sebagai langkah yang "boleh dilaksanakan, betul dan bukan populis" ketika negara berdepan tahap hutang yang tinggi.
Bekas Ahli Parlimen Subang itu turut mengkritik kenyataan kerajaan baru-baru ini yang dilaporkan berkata SST akan dikekalkan dengan menggabungkan ciri-ciri "baik" GST, dengan Wong mempersoalkan: "Mengapa hendak merumitkan keadaan?"
Rafizi turut menolak konsep "GST-SST hibrid", dengan berkata ia tidak banyak berbeza daripada GST dan lebih banyak memberi manfaat kepada syarikat.
Kerajaan Najib memperkenalkan GST bagi menggantikan SST ketika mendapat bantahan besar daripada rakyat. GST mencatat hasil bersih RM27.3 bilion pada tahun pertama pelaksanaannya.
Pada penggal pertama pentadbiran PH di Putrajaya di bawah bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kadar GST diturunkan daripada enam peratus kepada sifar sebelum SST diperkenalkan semula.
/file/attachments/orphans/test1_716667.png)
