Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M tulis surat pada Anis, gesa orang muda contohinya
Diterbitkan:  Dec 18, 2016 8:59 AM
Dikemaskini: 1:09 AM

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menulis kepada aktivis pelajar, Anis Syafiqah Mohd Yusof bagi menyatakan sokongan dan menggesa beliau untuk terus berjuang.

Anis sebelum ini digantung oleh Universiti Malaya (UM) selama satu semester dan didenda sebanyak RM400 kerana penglibatan beliau dalam Himpunan 'TangkapMO1'.

Mohd Luqman Hakim Fazli dan Mohamad Luqman Nul Haqim Zul Razali turut dikenakan hukuman serupa, manakala Suhail Wan Azhar didenda sebanyak RM400.

Anis, yang berkongsi surat itu di Facebooknya, mengucapkan terima kasih kepada Mahathir kerana sokongan beliau dan berharap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dimansuhkan.

"Besarlah harapan saya sekiranya Pakatan Harapan bersama Parti Pribumi Bersatu memenangi pilihan raya umum kelak, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak lagi menjadi kegusaran para aktivis mahasiswa yang ingin menyatakan suara untuk Malaysia yang lebih baik pada masa akan datang," kata Anis.

Jadi contoh golongan muda

Dalam surat itu, Mahathir, yang juga pengerusi BERSATU, berkata beliau merasa terganggu dengan tindakan disiplin yang dikenakan UM terhadap aktivis pelajar itu.

Mahathir berkata adalah jelas Anis bimbang tentang masa depan negara dan generasi akan datang akibat salah laku MO1.

Katanya, universiti tersohor itu sepatutnya menyokong keberanian dan keprihatinan Anis dalam memperjuangkan masa depan negara.

"Saudari tidak bersendirian dalam kebimbangan ini. Saya yang di penghujung usia mungkin akan terlepas akan terlepas menghadapi penderitaan angkara MO1.

"Tetapi ini tidak bermakna saya akan berpeluk tubuh dan membiarkan MO1 bermaharajalela dengan kemungkarannya. Saya berharap saudari terus tabah menghadapi dugaan ini kerana perjuangan tanpa pengorbanan bukanlah satu perjuangan," katanya.

Mahathir juga berharap lebih ramai golongan muda akan mengikuti jejak langkah Anis.

"Keberanian saudari saya harap akan dicontohi pemuda dan pemudi lain," katanya.

Himpunan "TangkapMO1" (Arrest MO1) diadakan pada Ogos lalu selepas Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkata siasatan mendapati AS$ 3.5 bilion daripada dana 1MDB telah disalahgunakan.

DOJ berkata AS$ 731 juta wan diperoleh seorang pegawai kanan kerajaan, yang tidak dinamakan tetapi digambarkan sebagai "Malaysian Official 1".

Lihat Komen
ADS