Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Isu kerusi selesai jika DAP, AMANAH gabung
Diterbitkan:  Jan 23, 2017 2:14 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

PAS menepis dakwaan gabungan yang dibentuknya menjadi proksi BN seperti didakwa serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sebaliknya, kata Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad, kewujudan dua pakatan pembangkang akan membuatkan lebih banyak “penyelewengan” BN didedahkan.

“Maka ini tidak mungkin akan menguatkan BN tetapi sebaliknya akan melemahkannya,” katanya yang juga naib presiden PAS.

Beliau merujuk kenyataan Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub bahawa "blok ketiga" dibentuk PAS adalah alat untuk memecahbelahkan pembangkang.

Katanya, AMANAH, Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan melaksanakan kempen menjelaskan bahawa blok ketiga adalah proksi BN “walaupun mereka menegaskan mereka tidak bersama BN".

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Iskandar turut menyerang balas AMANAH dengan berkata AMANAH patut berhenti menyerang PAS dan tumpukan perhatian kepada usaha menyelesaikan “masalah dalaman” mereka.

“Kehadiran AMANAH telah menimbulkan kecelaruan kepada suasana politik negara,” katanya.

Sementara itu, berkaitan kekusutan pembahagian kerusi pembangkang pula, Iskandar mengusulkan pandangan drastik supaya AMANAH bergabung dengan DAP.

“Oleh itu, memang tepat saranan agar AMANAH bergabung dengan parti lain tetapi bukan dengan PKR seperti yang disarankan.

“Saya mencadangkan agar PAN bergabung dengan DAP kerana mereka kelihatan lebih rapat dengan DAP.

“Jika ini berlaku maka pemimpin-pemimpin PAN boleh diperuntukkan kerusi-kerusi selamat DAP dan ini akan dapat menyelesaikan banyak masalah,” katanya.

Beliau juga berkata PAS tidak harus dipersalahkan jika berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.

“Adalah tidak masuk akal PAS yang bersalah apabila parti-parti lain yang mengacau kerusi PAS,” katanya.

“Tambahan pula jika konsep dua penjuru ini tidak lagi dihormati oleh parti-parti lain maka kenapa pula PAS perlu menghormatinya?” katanya.
 

Salahuddin: Blok ketiga itu alat BN

Lihat Komen
ADS