Paling Popular
Terkini

MCA mengingatkan isu “sensitif” berkaitan agama dan budaya patut dibawa berbincang dahulu sebelum tindakan lanjut diambil.

Menyentuh isu perobohan tokong Taoisme menyerupai binaan masjid di Klang, parti Cina itu berpendapat perbincangan teliti harus dibuat bagi menghormati kepelbagaian agama di negara ini.

"Seharusnya isu-isu sensitif seperti ini haruslah dirujuk dan dibincang dengan lebih teliti lebih-lebih lagi amalan ini telah bertapak di tanah air sebagai satu penghormatan dan bukannya berniat mencaci atau mencemuh mana-mana pihak.

"Pegawai-pegawai juga tidak harus bertindak tanpa merujuk kepada ahli-ahli politik sama ada ahli exco atau wakil rakyat setempat," kata Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Ti Lian Ker kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas tindakan MPK merobohkan tokong di Jalan Makyong 5E/KU5, Bandar Bukit Raja yang dikatakan dibina atas tanah kerajaan.

Utusan Online melaporkan tokong itu didakwa menimbulkan kemarahan penduduk kerana tempat sembahan hijau-kuning itu mempunyai kubah serta lambang bulan sabit.

Sementara itu, Ketua Koordinasi BN Parlimen Klang Datuk Dr Ching Eu Boon (gambar) pula berkata, kerajaan negeri Selangor perlu lebih berhati-hati dalam isu melibatkan agama.

Katanya, beliau bimbang tindakan itu menimbulkan kemarahan penduduk Cina setempat.

Dr Ching turut mencadangkan agar pihak MPK menyediakan tanah lain bagi menggantikan penempatan tokong yang telah dirobohkan.

"Saya langsung tak setuju cara begini (robohkan tokong). Saya rasa ia akan menyinggung perasaan orang Cina," katanya.

Penduduk: Ini 'Datuk Melayu'

Sementara itu, tinjauan Malaysiakini mendapati tokong tersebut telah dirobohkan sepenuhnya dan diturap dengan pasir baru.

 

 


Bagaimanapun, terdapat penduduk setempat yang mempersoalkan perobohan tokong 15 tahun itu.

Wanita yang enggan namanya disebut itu berkata, terdapat ‘Datuk’ yang memang menjaga kawasan itu dari musibah dan memberikan keuntungan kepada perniagaan.

“Biasanya satu taman ada satu Datuk. (Tokong ini) sudah ada 15 tahun, memang Datuk ini sudah jaga kawasan dengan baik, jaga keselamatan dan jaga perniagaan. Jadi orang derma wang untuk bina lebih besar. Itu tidak salah kan?

“Kalau dulu tokong kecil warna merah, ada Datuk juga dan itu tokong itu boleh dialih-alihkan. Sebelum dia (pemilik tokong) ubah suai lebih besar, dia akan minta izin pada Datuk bukan sesuka hati kerana ini tuhan.

“Ia dibina menyerupai masjid kerana di sini yang jaga Datuk Melayu. Siapa yang robohkan saya tidak tahu apa nasib dia nanti,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk berkata Datuk tersebut turut dikenali sebagai “roh tok penghulu” di kawasan itu.

“Sebelum siap perumahan kontraktor akan bina satu tokong untuk jaga kawasan, kalau pergi mana-mana kawasan pun kena ada Datuk.

“Kita kena hormat-menghormati itu yang lebih penting kerana kita ada banyak agama dan bangsa, setiap agama ada kepercayaan masing-masing,” katanya.

Lelaki itu turut memberi contoh dalam masyarakat Melayu yang mempercayai setiap hutan turut mempunyai ‘Datuk’ yang menunggu kawasan itu sehingga ada yang meminta izin sebelum masuk.

MPK: Tiada kaitan isu agama

Bagaimanapun, kunjungan Malaysiakini ke pejabat Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin memberikan reaksi berlainan.

Mohamad Yasid (bawah) berkata pihaknya merobohkan tokong itu kerana ia dibina di atas tanah kerajaan dan tidak ada kaitan dengan sentimen agama.

“Bagi saya tidak ada isu. Kita ambil bawah undang-undang ikut akta parit dan jalan yang membina bangunan atau struktur bawah rizab parit dan jalan. Maknanya dalam konsep majlis kita kena ambil tindakan.

“Ia tidak ada kaitan dengan isu agama. Tak kira semua agama kalau tanah itu dibina atas tanah bawah kawalan MPK tanpa kelulusan, bukan hanya rumah ibadah, kedai pun berapa banyak kita robohkan,” katanya.

Jelasnya pemilikan tokong ini adalah milik individu dan bukannya mewakili banyak penganut lain.

Mohamad Yazid ketika ditanya adakah isu ini sengaja dipolitikkan oleh pihak tertentu berkata:

“Kita tidak rasa apa-apa. Kalau kita rasa ada binaan haram, ada aduan kita ambil tindakan. Kalau ada gerai haram pun kita robohkan,” katanya.



Dalam perkembangan sama, Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS) menggesa kerajaan negeri menggunakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dalam menangani isu sebegitu.

Presidennya Rosdi Long berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mewartakan bahawa rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan mengguna pakai apa yang menjadi identiti agama Islam.

Umno Online juga melaporkan exco agama Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai berkata, perbuatan tersebut tidak boleh dibiarkan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan ditakuti mencetuskan ketegangan antara agama.

Lihat Komen
ADS