Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malik: Tak pernah suruh ubah fatwa
Diterbitkan:  Feb 9, 2017 4:09 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Exco Hal Ehwal Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim hari ini menegaskan, tidak ada campur tangan dalam proses penfatwaan seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

Sebaliknya Abdul Malik berkata, apa yang berlaku hanyalah keinginan kerajaan supaya mufti yang mempengerusikan majlis fatwa membincangkan keputusan mereak dengan kehadiran wakil kerajaan negeri.

"Selaku exco hal ehwal Islam, saya tidak pernah mengarahkan untuk menukar keputusan mereka (jawatankuasa fatwa) sebaliknya saya memohon kepada mufti yang mempengerusikan jawatankuasa fatwa untuk membincang semula keputusan itu dengan kehadiran wakil kerajaan negeri.

"Sekali lagi saya tegaskan, kerajaan negeri tidak campur tangan dalam isu memfatwakan kalimah Allah, apatah lagi mengarahkan jawatankuasa fatwa mengubah fatwa itu mengikut pendirian kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang, Datuk Md Salleh Ahmad mengakui berlaku campur tangan kerajaan negeri dalam proses penfatwaan seperti yang dibangkitkan PAS Pulau Pinang.

Kata Md Salleh, campur tangan itu berlaku apabila Abdul Malik mengarahkan supaya isu penggunaan kalimah Allah yang sudah diwartakan, dibincangkan semula agar ia selari dengan pendirian kerajaan negeri.

Kejadian itu, katanya, berlaku pada 2010.

Justeru, Md Salleh berkata, beliau kesal dengan apa yang berlaku kerana ia menunjukkan seolah-olah kuasa exco agama dalam hal penfatwaan lebih besar daripada jawatankuasa fatwa Pulau Pinang.

Md Salleh yang juga adik kepada bekas mufti terdahulu - Datuk Hassan Ahmad - menggesa agar campur tangan itu segera dihentikan dan semua fatwa hendaklah terus dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong tanpa perlu melalui mesyuarat exco kerajaan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut Abdul Malik berkata, pihaknya cuma berharap jawatankuasa fatwa dapat mendengar dan menilai semula keputusan mereka dengan mengambil kira pandangan wakil kerajaan negeri.

Kata Abdul Malik memang menjadi amalan jawatankuasa fatwa untuk menjemput mana-mana pihak yang berbeza pandangan dengan mereka untuk bermuzakarah.

Hasil perbincangan semula itu, katanya, jawatankuasa fatwa mengekalkan keputusan fatwa yang diwartakan pada 29 April 2010 dan kerajaan negeri menghormati serta menerima keputusan tanpa sebarang masalah berbangkit.

"Memohon untuk membincangkan semula keputusan fatwa bukan bermakna ada campur tangan dalam pemfatwaan," katanya.

Lihat Komen
ADS