Mak nyah mati ditetak, dikebumi di hari jadi

   

Seorang mak nyah Shameera Krishnan, 26, ditemui mati dengan kesan tembakan dan tetakan di badan.

Dia akan dikebumikan di Karak, Pahang, pada hari ini, hari jadinya, lapor The Star Online.

Sepupunya V Reenunair, 29, berkata mangsa cedera teruk dalam serangan di Jalan Pasar, Kuantan, petang semalam – sejam selepas keluar untuk membeli makanan.

“Kami tidak tahu dia sudah meninggal dunia pada masa itu. Kami pergi ke bilik mayat dan dapati dia ditembak di bahagian punggung.

“Empat jarinya dan kepalanya juga cedera teruk,” beliau dipetik sebagai berkata.

Reenunair juga berkata sepupunya kelihatan seperti cuba menangkis serangan bertubi-tubi, berdasarkan kesan luka besar di tangan kanannya.

Reenunair berkata Shameera, yang pekerja di kedai bunga tidak pernah mengadu diganggu sesiapa.

Shameera memilih menjadi mak nyah kira-kira tujuh atau lapan tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuatan ACP Abdul Aziz Salleh mengesahkan insiden itu dan berkata siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu, Sharan Manthira Naidu yang mengaku sebagai ibu saudara mangsa, ternyata kelu dengan insiden itu.

“Apalah nasib sambut hari jadinya. Saya tidak tahu nak kata apa lagi,” tulisnya di Facebook semalam.

Mayat akan dikebumikan di Karak, Pahang.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda