Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PBB: Agensi perisikan Korea Utara jalan operasi senjata luar M'sia

Ia terletak di kawasan kejiranan Little India di Kuala Lumpur, di sebalik belakang pintu yang tidak bertanda di tingkat dua sebuah bangunan usang. Menurut Glocom, ia adalah pejabat bagi syarikat yang menjual peralatan ketenteraan itu.

Glocom adalah syarikat hadapan yang dikendalikan oleh ejen perisikan Korea Utara yang menjual peralatan radio yang digunakan di medan peperangan yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menurut laporan badan dunia itu yang digubal untuk Majlis Keselamatan dan dilihat oleh Reuters.

Reuters mendapati bahawa Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi "tentera dan separa tentera" di laman web di Malaysia, glocom.com.my.

Laman web Glocom, yang ditutup akhir tahun lalu, menyenaraikan alamat Little India dalam seksyen ‘hubungi kami’. Tiada siapa yang menjawab atau membuka pintu pada alamat yang diberikan itu manakala peti surat di luar pejabat dipenuhi dengan surat yang belum dibuka.

Malah, tidak ada syarikat dengan nama sedemikian wujud di Malaysia. Tetapi dua syarikat Malaysia yang dikawal oleh pemegang saham dan pengarah Korea Utara mendaftarkan laman web Glocom pada tahun 2009, menurut laman web dan dokumen pendaftaran syarikat.

Dan ia menjalankan urusniaga, petik draf laporan PBB itu.

Julai lalu, penghantaran melalui udara peralatan komunikasi tentera Korea Utara, dari China menuju ke Eritrea, telah dipintas di sebuah negara yang tidak dinamakan.

Peralatan yang dirampas termasuk 45 kotak radio untuk digunakan di medan perang dan aksesori yang dilabel 'Glocom', singkatn untuk Global Communications Co.

Glocom dikawal oleh Reconnaissance General Bureau, agensi perisikan Korea Utara yang ditugaskan untuk operasi luar negara dan perolehan senjata, kata laporan itu, memetik maklumat yang tidak didedahkan bagaimana ia diperolehi.

Seorang jurucakap misi Korea Utara di PBB memberitahu Reuters beliau tidak mempunyai maklumat mengenai Glocom.

Resolusi PBB 1874, yang diterima pakai pada tahun 2009, memperluaskan sekatan senjata terhadap Korea Utara dengan memasukkan peralatan ketenteraan dan semua "perlengkapan berkaitan".

Bagaimanapun pelaksanaan sekatan "masih tidak memadai dan sangat tidak konsisten" di kalangan negara-negara anggota, kata laporan PBB itu, dan Korea Utara menggunakan "teknik pengelakan yang semakin canggih."

Malaysia adalah antara sejumlah kecil negara di dunia yang mempunyai hubungan erat dengan Korea Utara.

Rakyat negara ini boleh melakukan perjalanan ke negara masing-masing tanpa visa. Namun hubungan itu menjadi tegang selepas abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.

Menurut pangkalan data 'WHOIS', yang mendedahkan pemilikan laman web, Glocom.com.my didaftarkan pada tahun 2009 oleh sebuah entiti yang dikenali sebagai International Global System yang menggunakan alamat "Little India" itu.

Sebuah syarikat lain yang hampir serupa namanya, Golden Services International disenaraikan sebagai titik hubungan pada laman web Glocom ini.

Glocom dikendalikan oleh cawangan sebuah syarikat Pyongyang yang berpangkalan di Singapura yang dikenali sebagai Pan Systems, petik draf laporan PBB itu, merujuk kepada invois dan maklumat lain yang diperolehi.

Louis Low, Pengarah Urusan Pan Systems di Singapura berkata syarikatnyamenggunakan sebuah pejabat di Pyongyang sejak 1996 tetapi secara rasmi menamatkan hubungan dengan Korea Utara pada tahun 2010 dan tidak lagi mengawal sebarang perniagaan di sana.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS