'GST kutip RM39b tapi beri BR1M RM6.8j'

   

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Abdul Kadir Jasin menempelak kerajaan yang mengatakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membantu rakyat mengatasi kos sara hidup.

Ini kerana, jelas beliau yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan NST, kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) membolehkan kerajaan mengaut RM39 bilion tetapi memberi BR1M sebanyak RM6.8 juta sahaja.

"BR1M dijangka akan dinikmati oleh tujuh juta penerima dengan jumlah besar RM6.8 juta. Maksudnya apa yang dibagi sebagai BR1M hanyalah sebahagian kecil saja daripada beban GST yang ditanggung oleh rakyat jelata. Kerajaan kutip RM39 bilion tapi bagi balik RM6.8 juta.

"Itu belum lagi dikira kenaikan harga barang dan perkhidmatan macam saya sebutkan di atas. Jadi kalau kita kaji dan halusi, susah kita nak telan hujah yang kata GST selamatkan negara dan BR1M bantu rakyat jelata atasi kos sara hidup yang melambung," kata beliau dalam blognya.

Dua hari yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pemprosesan permohonan 3,123,950 pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dijangka selesai pada 28 Februari ini.

"Kepada yang masih belum menerima BR1M atau status mereka masih dalam proses, iaitu seramai 3,123,950, pemprosesan permohonan BR1M anda dijangka selesai pada 28 Februari ini.

"Bagi yang dah menerima BR1M, saya harap dapat dibelanjakan dengan berhemah, Insya-Allah," katanya menerusi catatan di laman Facebook dan Twitter.

Pembayaran BR1M bagi 2017 secara baucar dibuat pada 18 Februari manakala pembayaran secara terus ke akaun bank dibuat mulai 22 Februari lepas.

Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, bagi memudahkan pemahaman, kerajaan dakwanya mengambil duit rakyat melalui GST dengan tangan kanan dan bagi balik sikit melalui BR1M dengan tangan kiri.

"Apa yang rakyat dapat dalam bentuk BR1M adalah duit mereka sendiri. Dalam bahasa perniagaan dan percukaian dipanggil rebat (rebate)," jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau turut berkongsi pandangan ahli ekonomi yang ditemuinya mengenai kemampuan BR1M untuk mengatasi kesan GST ke atas orang miskin.

"Dia jawab macam ini, kutipan GST tahun 2016 kira-kira RM39 bilion manakala bilangan isi rumah di Malaysia 6.35 juta. Jadi bayaran purata GST setiap isi rumah kira-kira RM6,141 setahun.

“Ini anggaran kasar sebab perniagaan pun bayar GST. Saya tidak tahu peratusan GST yang dibayar oleh pengguna dan perniagaan," katanya lagi.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda