Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
2 wanita didakwa bunuh Kim Chol
Diterbitkan:  Mar 1, 2017 8:15 AM
Dikemaskini: 5:07 AM

Wanita Vietnam, Doan Thi Huong & Indonesia Siti Aisyah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan membunuh Kim Chol di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

Hakim Mahkamah Sesyen Harith Sham Mohamed Yasin, yang bertindak sebagai Majistret, menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes.

Pertuduhan ke atas kedua-dua wanita itu dibacakan secara berasingan dalam bahasa Vietnam dan Indonesia. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua wanita terbabit.

Siti Aisyah merupakan tertuduh pertama manakala Thi Huong adalah tertuduh kedua.

Hadir sama pada prosiding hari ini ialah wakil daripada kedutaan Indonesia dan Vietnam.

Siti Aishah, 25, hadir dengan memakai kemeja-T merah dan seluar jeans biru dan dibawa masuk ke kandang tertuduh tepat jam 10.03 pagi.

Manakala, Thi Houng, 29,  yang digari dibawa masuk ke kandang mahkamah jam 10.09 pagi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 34, di Balai Berlepas KLIA2, pada jam 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pihak berkuasa telah mengesahkan pembawa pasport yang tertera dengan nama Kim Chol adalah sebenarnya Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Jaket kalis peluru

Menurut Reuters, kedua-dua suspek utama itu juga kelihatan memakai jaket kalis peluru tetapi tidak menyatakan sebabnya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor Muhamad Iskandar Ahmad manakala Siti Aisyah diwakili barisan lima peguam diketuai Gooi Soon Seng dan Thi Huong diwakili peguam S Selvam.

Kedua-dua tertuduh selepas itu dihantar ke Penjara Kajang.

Sebelum ini, ketibaan kedua-dua suspek tersebut di Kompleks Mahkamah Sepang dalam keadaan dikawal ketat.

Dua suspek berkenaan tiba dalam konvoi pacuan empat roda berasingan oleh pasukan polis yang menggunakan penutup muka serta diiringi polis trafik dan kereta peronda polis.

Konvoi pertama lapan pacuan empat roda yang membawa suspek pertama tiba di kompleks mahkamah kira-kira 9.34 pagi manakala konvoi enam pacuan empat roda membawa suspek kedua tiba enam minit kemudian.

Kebanyakan media tidak dapat melihat dua suspek berkenaan kerana mereka dibawa ke bahagian belakang mahkamah yang tidak dapat diakses semua media.

Kawalan di sekitar kompleks mahkamah juga diperketatkan dengan kehadiran anggota polis yang agak ketara ramai.

Polis trafik juga mengawal lalu lintas di laluan di hadapan kompleks mahkamah.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam berkata dua wanita asing akan dihadapkan di mahkamah hari ini bagi menghadapi tuduhan.

Ratusan wartawan di luar mahkamah

Warga Vietnam dan Indonesia itu ditahan reman selama 14 hari mulai 16 Februari lepas bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un berada di klia2 untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Media yang dibenarkan mengikuti prosiding pendakwaan dalam mahkamah adalah terhad manakala beratus lagi pengamal media berkumpul di luar.

Apabila kelibat seorang peguam tiba di kompleks mahkamah, beliau dikerumuni para wartawan tempatan dan antarabangsa yang sedia menunggu di luar dan mahu mengetahui suspek mana yang beliau wakili.

Gooi Soon Seng dari Tetuan Gooi & Azura berkata beliau mengetuai barisan peguam bagi Siti Aisyah dan dilantik oleh pihak kedutaan Indonesia.

Pasukan beliau akan terdiri daripada lima hingga enam orang peguam.

 

Lihat Komen
ADS