Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mufti patut berdepan Khairuddin, bukan pensyarah'
Diterbitkan:  Mar 1, 2017 1:38 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Ahli-ahli akademik berbeza pandangan berkaitan cadangan debat dengan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkaitan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355).

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata debat itu patut berlangsung antara Khairuddin dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Walaupun Khairuddin dalam ucapannya pada 12 Februari 2017 menyebutkan kesediaan beliau untuk berwacana dengan sesiapa sahaja yang mempersoalkan pindaan Akta 355 ini.

“Tetapi disebabkan kenyataan Mohd Asri yang paling lantang dan paling mendapat liputan media, dan ucapan Khairuddin juga adalah mengenai kenyataan Mohd Asri, maka lebih wajar jika Mohd Asri yang berwacana dengan Khairuddin,” kata Kamarul Zaman.

MAPAN, kata Kamarul Zaman, bersedia pada bila-bila masa untuk menganjurkan wacana itu untuk membantu mewujudkan budaya berpolitik sihat.

“Diharapkan Mohd Asri akan sudi menerima undangan kami ini dan tidak akan melarikan diri daripada berdialog mengenai isu pindaan Akta 355 ini,” kata Kamarul Zaman.

Asri tak jawab pelawaan?

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada cadangan penganalisis politik Dr Maszlee Malik supaya Khairuddin menerima cabaran debat pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Rozaimi Ramle.

Maszlee berkata, Khairuddin perlu menerima pelawaan debat itu bagi memastikan beliau tidak digelar jaguh kampung, menjadi pengukur kewibawaan ulama PAS dan membersihkan namanya dalam isu pembelian kereta mewah Audi Q7.

Sementara itu itu, Kamarul Zaman mendedahkan beliau sejak dua minggu lalu telah mengusahakan wacana itu dengan menghubungi kedua-dua pihak.

“Khairuddin terus sahaja menyatakan persetujuan beliau untuk berwacana dengan Mohd Asri di UUM tanpa meletakkan sebarang syarat kepadanya, malah turut bersetuju dengan mana-mana tarikh yang dipersetujui oleh Mohd Asri.

“Malangnya, Mohd Asri pula sehingga sekarang langsung tidak menjawab undangan saya ini, sama ada yang dibuat terus kepada beliau mahupun melalui pihak ketiga yang rapat dengan beliau.” dakwanya.

Justeru, katanya, tidak wajar Khairuddin digambarkan seperti mahu melarikan diri sedangkan beliau dari awal menyatakan kesediaan untuk berdialog.

Sekeh kepada 'tok peti'

Malaysiakini telah menghubungi Khairuddin dan Asri berkaitan isu itu dan masih menunggu jawapan dan penjelasan masing-masing.

Mohd Asri bagaimanapun menulis di Facebook dengan mendoakan program debat antara Khairuddin dan Rozaimi berlangsung dengan baik, selain mengucapkan tahniah kepada Rozaimi kerana menyahut cabaran.

Isu itu menjadi panas selepas Rozaimi menyatakan kesediaan berdebat dengan Khairuddin yang mahu bersemuka dengan pihak yang berkata pindaan Akta 355 tidak wajib.

Dalam rakaman 4.30 minit yang beredar di Internet itu, Khairuddin turut berkata jika ada mufti yang berkata pindaan akta itu tidak wajib, kepalanya patut disekeh.

“Wajib ke sunat? Jawablah, wajib ke sunat? Wajiblah, sunat kot mana. Kalau ada 'tok peti' (mufti) kata sunat, nak sekeh kepada dia,” kata Khairuddin dalam satu ceramah.

Khairuddin berhujah pindaan itu wajib disokong kerana membolehkan jumlah hukuman sebat bagi penzina, qazaf dan minum arak dilaksanakan seperti dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

Lihat Komen
ADS