Paling Popular
Terkini

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menafikan dakwaan Tan Sri Annuar Musa bahawa penggantungannya sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) disebabkan sokongan diberi kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

"Ia tak ada kena mengena dengan UEC. Beliau direhatkan sementara bagi membolehkan jawatankuasa audit dalaman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat tajaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta Permodalan Mara Bhd ke atas The Red Warriors Sdn Bhd," katanya kepada Malaysiakini.

Kedua-dua badan itu memberikan tajaan berkenaan bagi membantu skuad bola sepak Kelantan yang bersaing dalam Liga Super Malaysia.

The Red Warriors Sdn Bhd dikaitkan dengan Annuar yang juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan.

Ismail Sabri yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah berkata demikian selepas Annuar - dalam temu bualnya dengan Sin Chew Daily semalam - mendakwa beliau menjadi mangsa pihak tertentu ekoran sokongannya kepada penerimaan UEC.

UEC adalah sijil peperiksaan yang dikendalikan badan persendirian menerusi Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina.

Kementerian pengajian tinggi sebelum ini memaklumkan pengiktirafan sijil itu hanya terpakai sebagai syarat kemasukan ke universiti swasta kerana kurikulumnya tidak memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dalam temu bual itu Annuar menegaskan, sekolah aliran Cina bukannya menyalahi perlembagaan tetapi ia kekangan utama Putrajaya kepada sijil itu ialah silibus UEC untuk Melayu dan subjek Sejarah.

Sementara itu dalam kenyataan, pemangku pengerusi MARA, Datuk Dr Yusof Yacob, juga mengesahkan penggantungan Annuar adalah suatu proses biasa bagi membolehkan siasatan sewajarnya dijalankan.

"Penglibatan atau sokongan Annuar terhadap UEC tidak ada kena mengena atau tiada kaitan langsung dengan keputusan Majlis MARA untuk merehatkannya daripada tugas sebagai pengerusi.

"Alasan dan punca MARA merehatkan beliau adalah jelas berikutan tajaan bola sepak The Red Warriors," katanya.

Yusof juga menyatakan Annuar sudah dimaklumkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan sehingga siasatan jawatankuasa audit dalaman selesai sepenuhnya.

Lihat Komen
ADS