Siapa lantikan Agong nasihati persempadanan semula SPR?

   

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mahu kerajaan mendedahkan nama dua penasihat yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menasihati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula.

Wan Azizah berkata, pelantikan kedua-dua penasihat itu untuk persempadanan semula adalah tuntutan perlembagaan di bawah Perkara 115 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini penting kerana nasihat dua pakar tersebut merupakan asas kepada keperluan proses persempadanan semula.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkara 115 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa suruhanjaya hendaklah meminta nasihat daripada dua orang pegawai kerajaan persekutuan yang mempunyai pengetahuan khas mengenai topografi dan taburan penduduk dalam unit kajian semula bagi pilihan raya persekutuan.

Ia juga menyatakan pegawai berkenaan hendaklah dipilih bagi maksud itu oleh Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, Wan Azizah mahu Putrajaya dan SPR untuk telus dalam perkara itu.

“Memandangkan ini adalah tuntutan Perlembagaan, ia perlu dijelaskan dengan tuntas.

“Saya gesa proses persempadanan semula ini dihentikan sehingga perkara ini dijelaskan kepada rakyat,” katanya.

Menurut Wan Azizah, jika SPR gagal untuk menjelaskannya, beliau tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini ke perhatian Yang di-Pertuan Agong.

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda