Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengimbau kenangan pada zaman reformasi apabila PAS ketika itu menyertai gabungan pembangkang dan membentuk Barisan Alternatif.

Menurut anggota parlimen Permatang Pauh itu, PAS sewaktu dipimpin Allahyarham Datuk Fadzil Noor memberi sokongan kepada gerakan reformasi sehingga pembangkang mendapat sokongan tinggi pada pilihan raya umum.

"Pada tahun 1999, saya lihat attitude PAS di bawah (pimpinan) arwah Fadzil Noor, (pembangkang) mendapat sokongan selepas beliau (Fadzil Noor) menyokong reformasi.

"Pembangkang pada waktu itu, PAS menyokong kami semua dan mendapat (sokongan) paling tinggi dalam pilihan raya umum.

"Itu komen saya. Eloklah kita bersama untuk menjatuhkan BN," kata presiden PKR itu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita ketika ditanya mengenai tindakan beberapa PAS kawasan yang membuat usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

Ahad lalu, PAS Permatang Pauh mencadangkan parti Islam itu memutuskan kerjasama politik dengan PKR melalui usul yang dibuat di Mesyuarat Tahunan PAS Ke-40 kawasan itu.

Selain Permatang Pauh, usul sama juga dibuat oleh PAS Bayan Baru.

Dilaporkan juga, Pemuda PAS Kuala Selangor serta Tumpat turut meluluskan usul sama untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Keputusan sama ada PAS akan meneruskan tahaluf siyasi bersama PKR akan diputuskan pada Muktamar PAS ke-63 yang akan diadakan di Kedah April depan.

 

Lihat Komen
ADS