Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rekod dunia' dikongsi Ku Nan ditertawa
Diterbitkan:  Mar 28, 2017 11:59 AM
Dikemaskini: 5:24 AM

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor jelas gembira apabila berkongsi perasaannya dengan orang ramai apabila acara "perhimpunan terbesar chef" berlangsung dengan jayanya di Dataran Putrajaya pada Sabtu lalu.

Turut mengiringi tweet beliau itu ialah tiga keping gambar dengan salah satunya memaparkan imej sijil Guinness World Records yang diberikan kepada Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan.

Ia kelihatan seolah-olah himpunan berkenaan mendapat pengiktirafan badan yang mengelolakan rekod dunia, Guinness World Records.

Bagaimanapun, Tengku Adnan - melalui tweet berkenaan - tidak menyebut perhimpunan 4,235 tukang masak itu diiktiraf sebagai rekod baru dunia.

"Tahniah Malaysia, pemegang rekod adalah Mexico. Saya tabik kepada semua chef Malaysia dan seluruh dunia yang hadir dan bertanding," katanya pada 25 Mac lalu.

 

 

Bagaimanapun kenyataan itu mengundang reaksi pengguna Internet yang mempertikaikan ketulenan sijil berkenaan, selain kesalahan tatabahasa yang terpapar padanya.

Ada antara pengguna yang menghubungi Guinness World Records untuk mendapatkan pengesahan, dan badan itu kemudian mengesahkan ia bukanlah sijil asli daripada mereka yang berpangkalan di AS.

Beberapa pengguna Twitter juga menyindir tweet Tengku Adnan itu.

Seorang daripadanya, @SafuanZainal memuat naik gambar 'sijil' kononnya mengiktiraf dia sebagai "orang paling lama tidur" iaitu sembilan bulan 10 hari di dalam perut ibunya.

 

 

Sementara itu menurut penganjur acara itu, Finemen (M) Holdings Sdn Bhd, berlaku salah faham ketika pengumuman dibuat pada majlis berkenaan.

Kata penganjur, sijil itu bukan dikeluarkan Guinness World Records tetapi digunakan untuk tujuan gimik semata-mata.

Pengarah Urusan Finemen Holdings, Hakim Omar, berkata salah faham itu berlaku kerana wakil Guinness World Records tidak dapat hadir pada majlis berkenaan.

"Wakil Guinness World Records berkata, sekiranya Malaysia Book Of Records (MBOR) telah membuat pengesahan acara ini sebagai yang terbesar, maka pihak penganjur juga boleh membuat pengumuman bagi pihak Guinness World Of Records.

"Kesilapan teknikal berlaku apabila pengurus acara menyediakan replika sijil Guinness World Of Records sebagai gimik pengumuman dan bukanlah sijil asal Guinness World Of Records," katanya.

Menurut Hakim, MBOR mengesahkan acara berkenaan memang terbesar kerana mengatasi rekod sebelum ini - iaitu 3,635 chef - yang dibuat di Mexico City pada 17 Mac 2014.

Bagaimanapun, katanya, berlaku kesilapan teknikal ketika penganjur menyiapkan replika sijil Guinness World Records yang disediakan untuk gimik saja.

"Secara asasnya, himpunan chef-chef di Putrajaya dengan jumlah penyertaan 4,235 peserta telah memecahkan rekod Guinness World Of Records di Mexico City tersebut," katanya.

Untuk mengatasi masalah itu, kata Hakim, Finemen Holdings akan berhubung dengan Guinness World Records bagi mendapatkan pengesahan rasmi dan sijil sebenar.

Malaysiakini sudah menghubungi menteri terbabit dan sedang menunggu komennya mengenai insiden berkenaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS