Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar lawat isteri di sebalik kawalan ketat polis
Diterbitkan:  Mar 28, 2017 5:00 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Jabatan Penjara Sungai Buloh, semalam meluluskan permohonan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membenarkan beliau melawat isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang dimasukkan ke hospital.

Portal Berita Harian Online memetik anaknya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, sebagai mengesahkan perkara itu.

Beliau dilaporkan berkata bapanya meluangkan masa kira-kira 45 minit bersama ibunya.

"Peguam kami menghantar surat kepada pihak pengurusan Penjara Sungai Buloh bagi mendapatkan kebenaran selepas memberikan surat pengesahan doktor.

"Alhamdulillah, ayah (Anwar) diberi kebenaran berada di hospital di samping ibu dan ahli keluarga yang lain semalam," katanya yang dipetik akhbar itu.

Anwar dilaporkan dikawal ketat oleh anggota polis dan Jabatan Penjara semasa melawat isterinya itu di Hospital Al Islam, Kampung Baru, semalam.

Dr Wan Azizah dimasukkan ke hospital, semalam tetapi menurut setiausaha politik beliau, Rodziah Ismail, keadaan ketua pembangkang yang juga ahli parlimen Permatang Pauh itu stabil dan tidak membimbangkan.

Kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar juga memuatkan gambar lawatan itu di laman sosial.

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin turut berkongsi gambar melalui aplikasi pesanan mudah alih WhatsApp, memaparkan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali melawat Wan Azizah di hospital.

Pegawai komunikasi PKR Fahmi Fadzil pula memberitahu Malaysiakini bahawa Wan Azizah telah dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya hari ini.

 

Lihat Komen
ADS