Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Utusan dakwa PAS mahu kembali 7 kerusi PKR di Kelantan
Diterbitkan:  Mar 29, 2017 12:15 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Akhbar Utusan Malaysia mendakwa PAS memberi gambaran bahawa parti itu akan mengambil kembali kerusi Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diistilahkannya sebagai ‘dipinjamkan' kepada PKR di Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Akhbar milik Umno itu memetik Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata langkah tersebut dijangka akan dilakukan oleh PAS negeri selepas mengambil kira keadaan politik semasa membabitkan hubungan kedua-dua parti yang semakin retak.

Bagaimanapun, Che Abdullah hari ini menghubungi Malaysiakini dan menafikan laporan itu dengan berkata, berkata kenyataan yang dibuatnya telah diambil dari konteks salah.

Malah, katanya, beliau sendiri tidak tahu mengenai kedudukan PKR di Kelantan sehingga ia diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat PAS serta dibahaskan dalam muktamar yang akan berlangsung di Kedah hujung bulan depan.

Akhbar Utusan Malaysia, hari ini, memetiknya, berkata, perkara itu berlaku kerana PKR sering berada sepentas dengan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diketuai DAP untuk menyerang kerajaan negeri Kelantan.

“Di peringkat negeri sebelum ini kita sudah sebut kepada rakan kita, PKR supaya menjaga hati pengundi PAS terutama di kampung-kampung.

“Dalam masa sama, kita juga sudah pesan supaya PKR lebih sensitif menjaga hubungan dengan PAS apabila mereka sering kali dilihat bersama-sama HARAPAN di pentas-pentas ceramah untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan,” katanya.

Kelantan memiliki 14 kerusi parlimen dan pada PRU13, PKR bertanding di tiga tempat iaitu Tanah Merah, Ketereh dan Machang manakala di peringkat DUN, parti itu diberi ruang di Pengkalan Kubor, Kuala Balah, Guchil dan Nenggiri.

Bagaimanapun hanya satu kerusi yang dimenangi oleh PKR iaitu DUN Guchil.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan PKR Kelantan berikrar akan mempertahankan semua kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya umum lalu walaupun timbul desakan akar umbi PAS yang mahu kerusi berkenaan dikembalikan kepada parti itu.

Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir, berkata pihaknya tetap bertegas dan enggan melayan kemahuan anggota PAS terbabit ketika tarikh PRU semakin hampir.

Bagaimanapun, Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki tetap bertegas bahawa parti itu mahu mengambil kembali kerusi yang menurutnya dipinjamkan kepada PKR di Selangor.

Ia termasuk parlimen Gombak yang disandang Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Malah terdapat desakan dari akar umbi PAS melalui beberapa mesyuarat supaya parti Islam itu meluluskan usul supaya tahaluf siyasi PKR ditamatkan dan semua kerusi yang dipinjamkan pada pilihan raya umum lalu diambil balik.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata keputusan muktamad mengenainya akan diputuskan pada muktamar hujung bulan depan di Kedah.

Katanya lagi, rakyat Kelantan tidak akan memberi ruang kepada HARAPAN untuk bertapak di negeri ini pada PRU-14.

Tambahnya, rakyat negeri itu tidak pernah lupa dengan tindakan DAP bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara konsisten menentang pelaksanaan hukum Islam di Kelantan.

“Rakyat akan sentiasa ingat apa yang dilakukan Dr Mahathir dan DAP. Jadi tidak ada sebab mereka akan beralih arah menyokong bekas perdana menteri itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS