Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Impian pinda Akta 355 'senipis kulit bawang'
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 9:25 PM
Dikemaskini: 1:28 PM

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zain, menyifatkan harapan untuk membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di parlimen kini umpama senipis kulit bawang putih.

Katanya, kini segala mandat untuk membolehkan Akta 355 itu dipinda terletak di bahu Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Kini mandat diberi kepada Tuan Speaker sama ada untuk membenarkan pembentangnya atau sebaliknya.

“Tinggal Tuan Guru Haji Hadi dan MP PAS bergelut untuk bangkit. Harapan kita kini senipis kulit bawang putih,” kata Zamihan di Facebooknya hari ini.

Semalam Najib memutuskan kerajaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda RUU355 di parlimen.

Kata Najib, keputusan itu diambil selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.

Dengan ketetapan itu, status usul persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan tertakluk kepada pertimbangan Pandikar.

Kenyataan Najib dilihat berbeza dengan ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, Najib berkata kerajaan akan mengambil alih usul tersebut dari PAS dan berharap semua pihak tidak mempolitikkannya.

Zamihan berkata rakyat seolah-olah percaya dengan "kenyataan berdengar-degar" pimpinan negara ketika perhimpunan RUU355 di Padang Merbok supaya kerajaan untuk membentangkan usul itu.

“Semasa Perhimpunan Agung dan Himpunan Ungu Padang Merbok yang lalu, pemimpin kita berdengar-degar mahukan kerajaan membentang usul RUU355.

“Semua rakyat marhaen percaya dan menaruh harapan tinggi. Kita sama-sama melaungkan takbir, Allahuakbar!,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengenai Akta 164 - Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) - sebagai menjejaskan anak mualaf Islam untuk merebut hak eksekutif Muslim pula dibenarkan untuk dibentangkan.

“Apa ertinya semua ini?... Realitinya, pemimpin yang lemah akidah memang tidak boleh diamanahkan untuk menjaga agama Allah. Saksikanlah Ya Allah, kami pasti bertemu-Mu di hari perhitungan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Muhammad Faisal Abdul Aziz pula mendesak supaya kerajaan memberikan penjelasan kerana sebelum ini Najib telah memberi jaminan RUU355 itu akan dibawa ke parlimen.

“Abim mendesak pihak kerajaan untuk tampil dengan penuh tanggungjawab memberi penjelasan sepenuhnya kepada umat Islam berhubung pendirian sebenar dan jaminan yang telah diberikan berhubung isu RUU355 ini.

“Penjelasan ini amat penting untuk membersihkan imej kerajaan hari ini yang dilihat dengan sengaja memperguna sentimen agama bagi tujuan kepentingan politik semata-mata,” katanya Faizal dalam kenyataannya.

Lihat Komen
ADS