Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembantu warden tahfiz terlibat kes dera direman semula
Diterbitkan:  Apr 29, 2017 7:15 AM
Dikemaskini: 11:19 PM

Pembantu warden lelaki di sebuah pusat tahfiz swasta di Johor Bahru yang ditahan kerana disyaki mendera seorang pelajar pusat itu sebelum ini, direman semula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Reman tujuh hari itu bermula hari ini hingga 3 Mei depan," kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, suspek direman empat hari mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, sebelum disambung lagi tempoh remannya selama tiga hari.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di rumahnya di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi pada pukul 4 petang Sabtu lepas selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Dalam kejadian berkenaan Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, dipukul dengan paip getah hingga menyebabkan kecederaan pada kedua-dua kakinya.

Mohamad Thaqif Amin kemudian dipotong kedua-dua belah kaki hingga paras paha akibat dijangkiti kuman setelah dipercayai didera oleh pembantu warden berkenaan.

Mangsa meninggal dunia pada jam 2.05 petang Rabu lepas di Hospital Sultan Ismail dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, pada malam hari yang sama.

-- Bernama
 

Lihat Komen
ADS