Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi dedah butiran dana RM2.7 juta
Diterbitkan:  May 5, 2017 5:01 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Walaupun diberi masa 48 jam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli petang ini mendedahkan butiran kewangan dua badan diasaskannya – pusat tinjauan Invoke dan Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW).

Butiran itu didedahkan kira-kira dua jam selepas pemimpin muda PKR Adam Rosly, yang terpalit dakwaan rasuah, menuntut perkara itu secara terbuka awal petang ini.

Rafizi, dalam butiran bersama kenyataan medianya, antaranya mendedahkan pendapatan Invoke sejak ditubuhkan hingga 30 April 2017 adalah sebanyak RM2,780,652.

Daripada jumlah itu, RM787,049 dikatakan disuntiknya secara peribadi daripada dana berpunca daripada simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera.

“Saya juga terpaksa menambah suntikan setiap bulan dari gaji saya dan dengan membayar beberapa perbelanjaan Invoke menggunakan kad kredit saya,” katanya.

Berdasarkan butiran itu, sebahagian besar dana Invoke berpunca daripada majlis kutipan dana, iaitu sebanyak RM857,369.

Sebahagian besar dana itu dibelanjakan untuk gaji kakitangan (RM888,487), talian telefon dan Internet pusat panggilan (RM326,301) dan aset tetap (RM300,341).

Beliau sendiri, kata Rafizi, tidak menerima gaji daripada badan itu.

“Tidak ada satu sen pun perbelanjaan peribadi saya dibayar oleh Invoke,” katanya.

Adam hari ini mendakwa Rafizi gagal mendedahkan butiran pengumpulan dananya, walaupun sering menyeru semua pihak mengisytiharkan aset.

Tiga hari selepas Adam diheret ke mahkamah, Rafizi berkata, PKR wajar menjauhkan diri daripada kemelut peribadi pemimpin akar umbi itu, terutama menjelang pilihan raya umum ke-14.

Rafizi berkata PKR mesti dilihat tegas dan berpegang kepada piawai moral dan keamanahan yang jauh lebih tinggi berbanding parti-parti lain.

Sementara itu, bagi NOW pula, badan pembocor maklumat itu tidak mempunyai sebarang pendapatan sepanjang tahun 2016 dan 2017 kerana tidak menganjurkan sebarang majlis kutipan dana.

Perbenlaannnya pula hanya minimum (hanya sewa pejabat) dan tidak mempunyai kakitangan.

Kedua-dua badan itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tahun kewangan INVOKE Solutions Sdn Bhd adalah bagi tempoh berakhir 31 Disember 2017.

Kedudukan kewangannya pula, kata Rafizi, boleh disemak dari semasa ke semasa mengikut carian di SSM.

Lihat Komen
ADS