Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cikgu Pa yang mahu undur diri, kata PAS
Diterbitkan:  May 9, 2017 1:17 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

PAS menafikan pihaknya menggugurkan bekas pengarah pilihanraya parti Islam itu, Datuk Mustafa Ali, sebaliknya ia adalah permintaannya sendiri.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Mustafa telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menyatakan hasrat tersebut sebelum pemilihan berlangsung.

“Cikgu Pa minta supaya kalau boleh diberi laluan kepada tokoh baru kerana dia sudah lama dan pada pandangan beliau juga, sudah sampai masanya barisan pelapis diangkat.

“Beliau bersedia menjadi penasihat dan pembimbing kepada parti menjelang pilihan raya ini. Presiden juga telah melihat cadangan beliau ini sebagai positif dan kita wujudkan satu jawatankuasa untuk menjadi penasihat presiden,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Kenyataan ini dikeluarkan sekaligus menepis dakwaan Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang mendedahkan bahawa kecenderungan ke arah Pakatan Harapan adalah punca sebenar Mustafa digugurkan daripada jawatan lamanya itu.

Tugas terakhir Mustafa sebelum muktamar di Kota Sarang Semut, Alor Setar akhir April lalu ialah pengarah pilihan raya, suatu jawatan yang penting terutama ketika demam pilihan raya semakin menghampiri.

Apabila barisan kepimpinan baru PAS diumumkan setiausaha agungnya pada 6 Mei lalu, nama Mustafa tidak kedengaran.

Sebaliknya Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan tugas pengarah pilihan raya PAS kini disandang Setiausaha Politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, perkara yang sama berlaku kepada Datuk Iskandar Abdul Samad yang mana bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu dinaikkan pangkat kepada penyelarasan Zon Tengah dan Selatan.

“Tanggungjawab dia lagi besar, perlu jaga Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor khususnya persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Perubahan ini kita buat di Johor dan Terengganu juga. Jadi tidak timbul soal gugur jawatan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS