Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rizieq nak balik, bakal disambut bagai Khomeini
Diterbitkan:  May 31, 2017 4:28 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

GLOBAL |  Ketua Umum Front Pembela Islam (FPI), Rizieq Syihab, dibayangkan bakal pulang ke Indonesia bagi menghadapi tuduhan kesalahan mengikut Akta Pornografi negara itu.

Kepulangan Rizieq itu pula dirancang untuk diadakan secara besar-besaran.

Seorang daripada peguam Rizieq, Sugito Atmo Pawiro, malah mencadangkan supaya pemimpin FPI itu disambut seperti rakyat Iran meraikan kepulangan Ayatollah Khomeini pada 1 Februari 1979.

Mengesahkan masih berada di Arab Saudi, Sugito berkata, Rizieq akan pulang "dalam waktu terdekat" dan berharap dia disambut seperti Khomeini.

Twitter kumpulan Laskar Pembela Islam (LPI) turut membayangkan rancangan mereka menyambut Rizieq.

"Ayoo... Sambut kedatangan imam besar umat Islam Indonesia Habib Rizieq Syihab bersama keluarga di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta Cengkareng-Jakarta.

"Tutup semua jalan menuju semua terminal. Jangan beri kesempatan kepada siapa pun untuk mengganggu kedatangannya. Tunggu tanggal mainnya akan diumumkan secara nasional,” kata LPI pada 24 Mei lalu.

Hari ini LPI mencatat: "Dalam minggu ini, insya-Allah Habib @RizieqSyihabFPI akan kembali ke Indonesia. Mohon doanya."

Rizieq dikehendaki polis Indonesia berhubung dakwaan pembabitannya dalam skandal sembang seks dengan seorang janda.

Perbualan melalui WhatsApp itu menjadi tular baru-baru ini. Wanita terbabit - Firza Husein - sudah disoal siasat polis dan dijangka bakal didakwa di mahkamah mengikut Akta Pornografi Indonesia 2008.

Selain melibatkan perbualan mengenai seks, beberapa keping gambar bogel juga turut bertukar tangan melalui aplikasi sembang berkenaan.

Polis sudah mengeluarkan waran tangkap untuk Rizieq semalam dalam usaha mereka membawa tokoh terbabit pulang dari Arab Saudi.

Rizieq meninggalkan Indonesia - atas alasan mahu mengerjakan umrah - ketika isu sembang seks yang dikaitkan padanya semakin hangat.

Kelmarin media tempatan melaporkan Rizieq melantik Eggi Sudjana untuk menjadi penyelaras pasukan peguam belanya.

Seramai 700 orang peguam didakwa bersetuju mewakili Rizieq yang baru-baru ini begitu gigih berkempen menjatuhkan gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama - atau Ahok - atas tuduhan menghina Islam.

Kata Eggi pasukan peguam Rizieq itu dinamakan sebagai Pembela Ulama dan Aktivis.

Lihat Komen
ADS