Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kenali Firdaus Hairi, imam al-hafiz buta
Diterbitkan:  Jun 10, 2017 9:00 AM
Dikemaskini: Jul 28, 2022 7:49 AM

Kisah hidupnya tular di laman sosial apabila baru-baru ini gambar lelaki cacat penglihatan sedang mendakap bayi dirakam dalam pengangkutan awam.

Gambar itu dimuat naik oleh seorang wanita melalui akaun Facebooknya pada 5 Januari lalu dan sehingga kini dikongsi lebih 10,000 pengguna yang rata-rata melahirkan perasaan kagum dengan kebolehan lelaki buta itu.

Malah, keterbatasan tak menjadikan ayah tabah itu memberi alasan atau mengeluh kerana terpaksa menghantar anaknya ke tempat asuhan dengan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) setiap hari.

Hati siapa yang tidak tersentuh melihat cinta seorang ayah pada anaknya yang sungguh besar.

Ayah hebat itu bernama Muhamad Firdaus Hairi, 29, manakala isterinya bernama Noor Hidayah Ibrahim. Mereka sama-sama buta.

Ketika ditanya mengapa beliau yang menghantar anaknya ke tempat asuhan, si ayah ada jawapan mudah: "Kerana tempat asuhan anaknya lebih dekat dari tempat kerja beliau berbanding isteri."

Setiap hari Firdaus keluar rumah sekitar jam 8 pagi dengan berjalan kaki ke stesen LRT Sentul Timur sebelum menghantar anaknya ke Titiwangsa.

Jarak antara tempat itu ke tempat kerjanya kira-kira 25 minit perjalanan dengan kaki.

Sementara itu, berbeza dengan ayah ibunya, anak kedua-dua pasangan itu Muhammad Razin Hamizan, 1, dilahirkan boleh melihat seperti orang lain.

Saraf mata rosak

Firdaus juga lahir seperti anak biasa tetapi takdir penentu segalanya apabila saraf matanya dikatakan rosak ketika mendapatkan rawatan untuk demam kuning ketika kecil.

"Saya lahir tak cukup bulan. Jadi bila lahir itu saya dimasukkan ke dalam inkubator dan cahaya inkubator itu terlalu kuat manakala mata saya pula tak ditutup dengan sempurna.

"Iyalah, tak pernah ada kes sedemikian. Mereka lupa letakkan kapas di mata saya sehingga saraf mata saya rosak...," kata Firdaus kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, kata Firdaus, itu bukan pengakhiran hidupnya.

Ibu bapanya juga hanya sedar perkara itu selepas dua tahun apabila dia lambat berjalan.

"Saya membesar seperti biasa tapi keluarga peliklah saya masuk usia dua tahun tak berjalan-jalan dan bila mereka perhatikan saya barulah mereka tahu saya tak nampak," cerita Firdaus.

"Tapi mereka fikir positif bahawa ini anak mereka dan mereka perlu ambil langkah dengan beri pendidikan yang sama dengan anak yang lain.

"Ayah saya banyak main peranan, dia minta emak saya tatihkan saya di embun. Kadang-kadang petua orang lama ini ada gunanya," kata Firdaus.

Lelaki kelahiran Pelabuhan Klang, Selangor itu sudah biasa menjalani rutin hariannya seperti orang normal lain.

Bahkan, berkat didikan ayah dan ibunya, kini menjadi seorang penghafal al-Quran dan bekerja sebagai peneliti al-Quran Braille bagi mengelakkan kesalahan sejak 2014.



Firdaus juga pemegang diploma tahfiz al-Quran dan dakwah dari Darul Quran di Kuala Kubu Baru.

Beliau pernah berkhidmat sebagai tukang urut di Medan Mara, Kuala Lumpur yang disertainya selepas tamat belajar.

Beliau menerima kunjungan Malaysiakini di pusat kesihatan itu.

'Imam tak tengok sejadah, sah ke solat?

Sepanjang Ramadan ini, Firdas juga dilantik menjadi imam di Surau An-Nur di pusat perniagaan di tengah-tengah ibu kota itu.

Bagaimanapun cabaran tetap ada apabila terdapat juga pihak yang mempersoalkan kelayakan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan untuk menjadi imam.

"Orang akan mempersoalkan sah ke solat kami sebab kami tak tengok sejadah.

"Ada juga sampai keluar jemaah. Biasanya kalau kita nak keluar dari jemaah kena ada kes besar tetapi ini tak ada alasan untuk keluar," keluh Firdaus.

Namun, bagi Firdaus itu bukanlah alasan untuk dirinya tidak terus berbakti kepada masyarakat.

Kata Firdaus, kelebihan ilmu yang ada pada dirinya membolehkan beliau menjawab segala persoalan yang dibangkitkan masyarakat.

"Jawapannya mudah saja. Dalam mazhab Shafie orang tidak nampak hanya tidak boleh menyembelih sahaja sebab dikhuatiri tidak kena pada urat.

“Tetapi untuk urus jenazah, jadi imam tak ada masalah," tegas Firdaus anak ketiga daripada tujuh beradik.

Mengakhiri perbualan dengan jejaka istimewa itu, Fidaus melahirkan harapan menggunung supaya masyarakat luar tidak terus menerus mendiskriminasi OKU serta menganggap mereka hidup atas ihsan orang semata.

"Jadi, saya harap institusi masjid dan surau ini dapat memperluaskan dan menerima kami seperti mana mereka menerima masyarakat lain," kata Firdaus.

Tambah Firdaus, sikap segelintir masyarakat yang memencilkan OKU hanya akan memberi kesan negatif kepada mereka.

"Sebab kami nak letak Quran (Braille) kami pun tak boleh. Kadang-kadang mereka kata buat penuh rak dan tak ada orang baca. Kami letak, kamilah baca, banyaklah cerita dia.

"Kita tahu ada OKU yang bekerja dan tidak bekerja serta meminta-minta, kita tak nafikan perkara itu tetapi kerana mereka kami OKU yang bekerja dan berkeluarga ini yang jadi mangsa.

"Masalah ini sangat besar, saya sendiri bila pergi pasar raya atau pasar basah awal-awal lagi orang dah hulur duit ingat saya penjual tisu dan ada juga yang mahu membayar harga barangan belian saya," keluh Firdaus.

Lihat Komen
ADS