Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SU Najib: Kit Siang harus minta ‘PO1' letak jawatan
Diterbitkan:  Jun 27, 2017 11:15 PM
Dikemaskini: Jun 28, 2017 12:12 AM

Penasihat DAP Lim Kit Siang sepatutnya meminta anak beliau Penang Official 1 (PO1) untuk meletak jawatan berhubung kes rasuah yang dihadapinya, dengan demikian orang lain akan melihat tuntutan Lim secara serius.

Dalam kenyataannya, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata Lim juga seharusnya berhenti menggunakan isu lain untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu skandal forex Bank Negara.

“Malah, beliau sepatutnya mendedahkan salah laku (Tun Dr) Mahathir Mohamad berhubung perkara ini, yang mengakibatkan kehilangan wang pembayar cukai US$10 bilion (RM42 bilion).

“Selepas beberapa dekad menyeru penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, Kit Siang kini membisu dan mengadakan pakatan baharu bersama Mahathir bekas pemenjaranya – semuanya demi kepentingan politik –mendedahkan sifat sebenar beliau, mengetepikan prinsip dan integriti dan kerakusan untuk berkuasa di Malaysia,” katanya.

Tengku Sariffuddin juga berkata, “Pada zaman ini rakyat tidak menghormati diktator, seperti Dr Mahathir yang sendiri mengakuinya atau Kit Siang yang sering menafikannya”.

"Oleh itu sebarang kenyataan oleh Kit Siang mempunyai kepentingan sendiri dan tidak boleh dipercayai,” kata Tengku Sariffuddin.

Menurut beliau, Lim sepatutnya berhenti daripada cuba menyembunyikan bahawa DAP mempunyai kerusi pembangkang paling banyak, “oleh itu pada hakikatnya parti itu yang berkuasa”.

Beliau berkata DAP merupakan pemimpin pembangkang utama, maka rakyat Malaysia perlu tahu siapa yang akan dipilih Lim menjadi Perdana Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Kit Siang mestilah telus tentang pilihannya siapa yang menjadi PM, oleh kerana rakyat perlu tahu siapa yang akan memerintah mereka jika mereka memilih pembangkang.

“Kerajaan pimpinan Kit Siang dan DAP akan mendatangkan bencana bagi Malaysia dan rakyat negara ini,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghadapi dua pertuduhan rasuah berhubung pertukaran status tanah dari zon pertanian ke kediaman, pembelian beberapa bidang tanah dan sebuah banglo di bawah harga pasaran.

- Bernama

Lihat Komen
ADS