Ketua Pemuda MCA Datuk Ong Tee Keat hari ini membuat aduan polis berhubung ugutan yang diterimanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berkaitan pemilihan parti minggu depan.

Beliau membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Ong yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata beliau menerima tiga ugutan termasuk yang terbaru malam tadi, kesemuanya dalam bahasa Mandarin.

SMS itu antara lainnya meminta beliau memilih pemimpin tertentu bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, ketua pemuda dan timbalan ketua pemuda dan diberi amaran supaya berjaga-jaga jika beliau tidak membuat pilihan seperti yang diminta itu.

Ong berkata, selain SMS, ugutan yang sama (tetapi berlainan versi) juga diterimanya daripada dua pihak.

Ditanya sama ada beliau mengesyaki penghantaran SMS ugutan itu ada kaitan dengan orang dalam parti, Ong berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.

Polis siasat

Katanya, beberapa perwakilan MCA yang lain turut menerima SMS ugutan yang serupa dan perbuatan itu telah menimbulkan perasaan takut di kalangan mereka untuk menghadapi pemilihan parti.

Menurut Bernama, Og sebelum ini telah mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Mohd Rodzi Ismail berkata polis akan menyemak dengan syarikat telekomunikasi bagi mengenal pasti nombor yang digunakan pengirim itu sama ada ia daripada perkhidmatan talian tetap atau prabayar.

Mohd Rodzi berkata individu atau kumpulan yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.