Banyak sekolah agama rakyat (SAR) enggan menerima semula bantuan kewangan daripada kerajaan kerana tidak mahu terikat dengan akujanji yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Sekolah Agama Rakyat (SAR), Datuk Abu Bakar Ismail berkata, sekolah yang enggan menerima semua bantuan tersebut termasuklah SAR yang diuruskan oleh parti politik, individu dan institusi swasta.

Katanya, maklumat ini diperolehi semasa pihaknya membuat bancian bagi menyalurkan semula bantuan kewangan kepada SAR di seluruh negara.

"Ia termasuk SAR yang diuruskan oleh PAS atau orang tertentu dalam PAS. Sekolah-sekolah yang dikaitkan dengan PAS ini secara terang-terang menolak akujanji, sedangkan sebelum ini PAS yang paling lantang mahukan bantuan tersebut diberikan semula," katanya ketika dihubungi malaysiakini.

Bagaimanapun, katanya, SAR yang diuruskan oleh pihak swasta menolak bantuan semula tersebut kerana sudah mempunyai sumber kewangan sendiri.

Abu Bakar berkata, sehingga ini Kementerian Pelajaran telah memberi semula bantuan berkenaan kepada kira-kira 100 SAR, kebanyakannya di negeri-negeri utara Semenanjung.

Kementerian Pelajaran, katanya, mewajibkan SAR menandatangani akujanji sebagai syarat utama menerima semula bantuan tersebut yang dibekukan sejak tahun 2001.

Pada tahun tersebut, kerajaan menghentikan bantuan kepada SAR kerana mendapati banyak sekolah terbabit menyimpang dan mata pelajaran yang diajar tidak sesuai dengan perkembangan semasa.

Bayar tunggakan

Menurutnya, kerajaan juga sedang mengkaji untuk memberi tunggakan kepada SAR terbabit bagi membolehkan mereka membayar hutang sepanjang tempoh pembekuan bantuan tersebut.

Abu Bakar yang juga Exco Kerajaan Negeri Perlis berkata, bantuan semula itu termasuk pembinaan bilik darjah, rumah guru, asrama dan bantuan peralatan seperti komputer dan kelengkapan makmal.

Katanya, Kementerian Pelajaran akan melatih guru SAR di maktab perguruan dan universiti bagi diserapkan ke dalam perkhidmatan perguruan kerajaan. Guru yang enggan mengikuti latihan akan ditawarkan kerja secara kontrak.

"Guru tersebut mendapat kemudahan yang sama dengan guru sekolah kerajaan, termasuk skim gaji yang sesuai dengan kelulusan akademik, bonus, pencen dan kemudahan lain," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran menetapkan mata pelajaran utama SAR ialah Bahasa Arab, Agama Islam dan Jawi, tetapi mata pelajaran lain seperti yang diajar di sekolah aliran kerajaan, tidak dilupakan

Mengenai banyak SAR yang belum menerima bantuan semula, Abu Bakar berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pelajaran sedang membuat bancian semula bagi mengenalpasti sekolah terbabit.

"Perkara ini berlaku kerana semasa perbincangan yang membabitkan Kementerian Pelajaran, SAR berkenaan tidak menghantar wakil menyebabkan nama mereka tercicir," katanya.

Kementerian Pelajaran, menurut Abu Bakar, mahu memberi bantuan semula tersebut kepada semua SAR tanpa mengira sama ada ia ditadbir oleh parti politik atau individu dengan syarat mematuhi arahan kementerian.