Malaysia tidak boikot produk Denmark
Malaysia tidak bercadang memulau produk dari Denmark ekoran perbuatan sebuah akhbar negara itu menyiarkan lakaran Nabi Muhammad s.a.w. yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Malaysia tidak bercadang memulau produk dari Denmark ekoran perbuatan sebuah akhbar negara itu menyiarkan lakaran Nabi Muhammad s.a.w. yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan akhbar Sarawak Tribune sebagai "tidak sensitif dan tidak bertanggungjawab" kerana turut menyiarkan semula karikatur itu Sabtu lepas.
Menurut laporan Bernama,beliau berkata bentuk tindakan yang akan dikenakan terhadap Sarawak Tribune bergantung kepada penjelasan pihak pengurusan akhbar itu kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.
"Saya terkejut. Mereka tidak fikir betul-betul. Daripada satu segi, mereka tidak bertanggungjawab kerana mereka tahu perbuatan seperti ini boleh menimbulkan kepanasan," katanya kepada pemberita selepas berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya. Beliau adalah juga menteri berkenaan.
Abdullah berharap sebarang tindakan yang diambil di negara ini untuk membantah penyiaran lakaran itu tidak akan menimbulkan masalah kepada orang lain.
Beliau yang juga pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), berkata pengurusan media asing hendaklah mengambil kira bantahan umat Islam terhadap penyiaran lakaran seumpama itu.
Mereka perlu sedar mengenai hak dan sensitiviti masyarakat lain sebelum membuat keputusan mengenai kandungan akhbar masing-masing, katanya.
"Isu seperti maruah dan agama perlu dikendali dengan hati-hati. Kita tahu soal mengenai agama amat sensitif kepada umat Islam, penganut Hindu dan penganut agama lain," katanya.
Mengulas lanjut ucapannya sebelum itu mengenai kebebasan akhbar, Perdana Menteri berkata kebebasan seperti itu ada hadnya.
Di Malaysia, kawalan yang diamalkan sendiri oleh pertubuhan media tempatan tidak bererti kebebasan akhbar tidak wujud di negara ini, katanya.

