Duta Besar Denmark ke Malaysia Borge Petersen telah berjumpa dengan pegawai-pegawai Kementerian Luar untuk memberi penjelasan berhubung penerbitan lakaran yang menghina Nabi Mohammad s.a.w. dalam sebuah akhbar negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar yang mendedahkan perkara itu berkata diplomat tersebut mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Rastam Mohd Isa.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan butir-butir lebih terperinci berhubung perbincangan itu, dan berkata pandangan Malaysia mengenai isu tersebut sudah jelas sebagaimana yang diterangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya, Syed Hamid berkata: "Perdana Menteri sudah menjelaskan bahawa perkara ini tidak akan mengakibatkan produk-produk keluaran Denmark diboikot walaupun kita kesal, kita kecam tindakan tidak sensitif itu.

"Tapi kita merasakan isu itu perlu diselesaikan dengan satu persefahaman yang kukuh," katanya semasa merujuk kepada isu yang menyaksikan kalangan umat Islam menyuarakan kemarahan mereka dengan membakar pejabat-pejabat kedutaan di beberapa negara dan memboikot produk keluaran Denmark.

Ditanya sekiranya Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada Denmark berhubung paparan lakaran kartun itu, beliau berkata: "Menghantar nota bantahan adalah sesuatu yang perlu kita timbangkan sekarang."

Sarawak Tribune

Menurut laporan Bernama, Syed Hamid berkata Kuala Lumpur tidak akan bertindak dengan cara yang boleh meluaskan lagi jurang yang memisahkan persefahaman serta hubungan baik antara negara Islam dan bukan Islam.

"Dan kita berharap media perlu mengambil iktibar dan memahami tentang apa yang dianggap sensitif dan sebaliknya, tanpa menjejaskan hak-hak dan kebebasan mereka," katanya.

Berhubung penerbitan semula lakaran kartun berkenaan oleh akhbar Sarawak Tribune Sabtu lalu, Syed Hamid berkata insiden itu sedang dipantau dengan serius.

"Adalah suatu tindakan yang kurang bijak bagi sebuah akhbar di Malaysia untuk menerbitkan ia semula walaupun dalam apa keadaan sekalipun.. Sebab itu kita ada Akta Hasutan," katanya.

Dalam perkembangan lain Syed Hamid berkata persidangan antarabangsa dua hari bertajuk "Who Speaks For Islam? Who Speaks For The West?" akan diadakan di Hotel Shangri-la di Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Menurutnya majlis itu akan membincangkan tentang beberapa isu utama mengenai hubungan Islam-Barat, termasuk pandangan-pandangan yang salah antara kedua-dua pihak dan juga media, kesan globalisasi kepada dunia Islam dan kemungkinan mewujudkan kerangka kerja bagi hubungan negara Islam dengan dunia barat pada masa depan.

Persidangan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri itu akan disertai oleh 60 personaliti terkemuka dari negara Islam, Amerika Syarikat, Eropah dan lain-lain negara barat.

Antara pesertanya adalah bekas Presiden Iran Mohammad Khatami dan Setiausaha Agung Muslim Council of Britain, Sir Iqbal Sacranie.