Dr M: Kenaikan harga minyak boleh dielakkan
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kenaikan harga minyak di Malaysia tidaklah terlalu tinggi tetapi beliau percaya ia boleh dielakkan jika kerajaan mengukuhkan nilai ringgit.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kenaikan harga minyak di Malaysia tidaklah terlalu tinggi tetapi beliau percaya ia boleh dielakkan jika kerajaan mengukuhkan nilai ringgit.
"Saya rasa kenaikan harga minyak di Malaysia tidaklah terlalu banyak tetapi kita boleh mengelakkan kenaikan itu dengan beberapa cara," katanya hari ini.
Dengan mengukuhkan nilai ringgit, katanya, kesan harga minyak dunia yang tinggi dalam mata wang dolar Amerika (AS) ke atas harga bahan bakar tempatan, adalah sedikit.
"Saya juga rasa yang wang kita kurang nilai. Jika kita mengukuhkan mata wang kita, kita sebenarnya tidak perlu menaikkan harga minyak.
"Kerana dengan mengukuhkan mata wang kita, harga minyak sebenarnya tidak akan menjadi terlalu tinggi," tambahnya.
Menurut laporan Bernama, harga minyak mentah meningkat di AS, kenaikan daripada AS$30 (AS$1=RM3.70) kepada AS$70 telah menolak naik harga-harga minyak di pasaran tempatan.
Jimat subsidi minyak
Harga petrol dan diesel telah naik 30 sen seliter mulai 1 Mac ekoran hasrat kerajaan menjimatkan sebahagian daripada subsidi minyak yang diberikan kepada pembangunan-pembangunan lain di dalam negara.
Dr Mahathir berkata sebarang kenaikan besar harga minyak mentah di Amerika akan secara langsung memberi kesan kepada harga bahan bakar tempatan, kerana ringgit masih bergantung kepada matawang dolar meskipun unit tempatan ini telahpun diapungkan berbanding sekumpulan mata wang sejak 21 Julai 2005.
"Jadi, bila harga minyak dalam mata wang AS tiba-tiba melonjak, harga di Malaysia turut melonjak.
"Tetapi, jika kita mengukuhkan matawang kita, kesan harga-harga di AS tidak akan menyebabkan kenaikan besar harga-harga minyak di Malaysia," tambahnya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, kenaikan 30 sen harga bahan bakar tidak perlu dibimbangkan oleh semua rakyat Malaysia walaupun ramai yang masih belum biasa dengan sebarang kenaikan harga.
Tidak biasa
"Saya kira di Malaysia, kita tidak biasa dengan sebarang kenaikan dalam harga. Jadi, kita tidak ambilnya sebagai satu kebiasaan," kata beliau.
"Tetapi di kebanyakan negara lain, harga sentiasa naik," tambahnya.
Ditanya mengenai sesi dialog beliau dengan para pelajar Universiti Malaya, Dr Mahathir berkata beliau telah menasihati mereka supaya belajar bersungguh-sungguh.
"Mereka bertanya pelbagai subjek dari pendidikan, perubahan, kepimpinan, wawasan dan banyak lagi," kata Dr Mahathir.
Selain belajar, katanya, beliau memberitahu mereka supaya merebut peluang untuk belajar nilai-nilai baik yang kemudiannya mungkin boleh digunakan untuk membantu kehidupan mereka dan juga negara.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.