Akhbar di Malaysia tidak seharusnya menjadi suara kebebasan dan demokrasi asing, sebaliknya menjadi alat pembentukan "Nasionalis Malaysia" dan bukannya "Malaysian Malaysia", kata Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.

Sambil merujuk kepada akhbar The New Straits Times, Zam berkata, akhbar berkenaan telah menyiarkan rencana yang bertujuan menghapuskan identiti Melayu di Malaysia pada 4 Januari 2006.

Akhbar itu juga, katanya, turut mengeluarkan sebuah lagi rencana yang memberikan gambaran bahawa seseorang telah memeluk Islam kerana tertekan oleh dominasi Melayu dalam sesuatu pasukan tentera.

"Ia bukan merupakan doktrin Malaysia tetapi legasi doktrin asing yang telah mencetuskan tragedi di Malaysia," katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agung, di Dewan Rakyat semalam.

Menurut laporan Bernama, Zainuddin berkata, pada masa yang sama, ada media yang telah menyalahtafsirkan kebebasan dan ketelusan yang dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Laporan berat sebelah

"Mereka telah mentafsirkannya untuk keluar daripada norma-norma dan prinsip-prinsip perundangan Malaysia yang telah sekian lama menjadi panduan kepada kebebasan akhbar di Malaysia," katanya.

Ini dapat dilihat semasa kontroversi rakaman video seorang wanita yang disuruh berbogel dan melakukan ketuk-ketampi di balai polis, tahun lalu.

"Kita dapat lihat beberapa akhbar membuat laporan yang bersifat bias, sentimen dan berat sebelah dalam laporan mengenai tahanan yang didakwa sebagai wanita China yang dikatakan diarah melakukan ketuk-ketampi oleh polis. Akhirnya diketahui bahawa sebenarnya ia wanita Melayu," kata Zainuddin.

Beliau menegaskan laporan sensasi seperti itu yang tidak mempedulikan sensitiviti rakyat dan penghormatan kepada pihak berkuasa, telah sampai pada peringkat membangkitkan perasaan marah terhadap polis dan mencemarkan maruah negara.