Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai naib presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) dan ketua bahagian Kota Belud.

"Ini adalah masa sesuai untuk melakukan sesuatu untuk memenuhi suara hati saya iaitu menyumbang kepada msayarakat menerusi kerja amal yang telah difikirkan sejak sekian lama," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu.

Menurut laporan Bernama, Saidatul Badru berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Isnin lalu.

Beliau berharap dapat meluangkan lebih masa kepada Darul Bakti, sebuah pusat penjagaan anak-anak yatim dan kanak-kanak miskin yang diasaskannya pada 1995 di Kota Belud.

Bagaimanapun, katanya, beliau masih menjadi anggota Keadilan dan tidak berundur daripada bidang politik kerana ia menjadi darah dagingnya.

Saidatul Badru, 55, menyertai Keadilan pada 1999 dan menjadi Ketua Perhubungan Negeri dari 2001 hingga 2004 sebelum dilantik naib presiden pada 2005.