Polis tingkat kempen tolak IPCMC dalam buletin jabatan
Terjemahan Walaupun kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan kempen untuk meningkatkan lagi usaha menolak penubuhan suruhanjaya tersebut.
Terjemahan Walaupun kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan kempen untuk meningkatkan lagi usaha menolak penubuhan suruhanjaya tersebut.
Dalam edisi khas buletin Berita Bukit Aman, PDRM menyifatkan penubuhan IPCMC, antara lain, bertentangan dengan Perlembagaan, menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam, boleh mengakibatkan anarki dan menghakis pengaruh politik parti yang memerintah.
Buletin itu juga menegaskan, jika IPCMC ditubuhkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), pasukan polis akan mengundi menyokong pembangkang dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Edisi khas itu yang bertajuk 'IPCMC Kuasa Yang Tidak Boleh Dicabar?' turut disiarkan dalam lamanweb rasmi PDRM. Ia mengandungi 12 bab yang meliputi latarbelakang IPCMC, dialog antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pihak PDRM dan sebab-sebab mengapa PDRM membantah penubuhan IPCMC.
Suruhanjaya Diraja Polis yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan bagi menambahbaik pasukan polis telah mengemukakan 125 syor. Antara yang amat ketara ialah syor ke-12, iaitu membentuk satu mekanisme penyemakan yang bebas atau dikenali sebagai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).
"Ahli politik akan hilang kuasa'
Menurut Buletin tersebut, edisi khas itu diterbitkan selaras dengan cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar sendiri untuk mengetengahkan pandangan para pegawai tinggi PDRM serta pandangan mereka yang berpendapat IPCMC tidak sesuai ditubuhkan.
Buletin itu menyenaraikan sembilan sebab mengapa penubuhan IPCMC dibantah, iaitu:
1. Menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.
2. Rakyat menjadi mangsa dan mengakibatkan anarki.
3. Menghakis pengaruh politik parti yang memerintah.
4. Mengkompromi kuasa-kuasa kawalan dan perintah KPN.
5. Penjenayah dan pelanggaran undang-undang menjadi di luar kawalan.
6. Skop 'misconduct' yang luas menyulitkan tugas rutin polis.
7. Penubuhannya bermakna badan-badan yang sedia ada seperti SPR, BPR, Suhakam, Jabatan Peguam Negara, Biro Pengaduan Awam dan KKDN telah gagal melaksanakan tugas mereka.
8. Draf Bill IPCMC ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, berlawanan dengan Natural Justice, The Rule Of Law, mendiskriminasikan anggota polis dari rakyat biasa dan melanggar hak asasi anggota polis sebagai manusia biasa.
9. 'Melembikkan' polis kerana memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pegawai dan anggota kerana takut dan tidak berkeyakinan dalam menjalankan tugas.
Dalam satu lagi bab bertajuk IPCMC 'Mengapa kita tidak memerlukannya', dinyatakan satu lagi sebab mengapa penubuhannya dibantah, iatu IPCMC akhirnya akan mengakibatkan ahli politik hilang kuasa mereka.
'Yang tersurat dan tersirat'
Buletin itu mendakwa, kesan yang tersurat dan tersirat daripada penubuhan IPCMC ialah badan sebenar yang menjalankan kuasa mengawal pihak polis ialah pesuruhjaya IPCMC dan bukannya menteri.
Dengan itu, tambahnya, ahli-ahli politik akhirnya akan kehilangan kuasa, pengawalan dan pengaruh terhadap pasukan polis.
Ketika dihubungi, editor buletin tersebut, ASP N Venugopal berkata, buletin itu adalah untuk edaran dalaman jabatan, tetapi edisi khas tersebut yang dicetak dan diterbitkan dua bulan lalu dimuatkan dalam lamanweb berkenaan dua minggu lalu, untuk membolehkan anggota polis mengetahui perkembangan terbaru isu tersebut.
Beliau menafikan bahawa edisi khas itu dikeluarkan dengan tujuan untuk melobi pihak awam supaya menolak IPCMC, sambil menegaskan: "Ini (penubuhan IPCMC) bukan satu isu langsung, tidak ada apa yang kontroversi, kami hanya mahu anggota polis faham perkara tersebut."
Bagaimanapun, seorang pegawai perhubungan awam ibupejabat polis Bukit Aman, yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai "Rasidi' berkata, buletin tersebut tidak mencerminkan pendirian PDRM, tetapi ianya bertujuan supaya anggota polis memahami tindakan yang diambil oleh pegawai tinggi PDRM.'
Ini bercanggah dengan apa yang dinyatakan dalam buletin itu bahawa edisi khas berkenaan dibuat selaras dengan cadangan KPN.
Buletin itu juga memetik Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis Yang Diwartakan (PPKP/CPW), ACP Jamaludin Khalid sebagai berkata, cadangan penubuhan IPCMC itu telah menimbulkan sentimen dan reaksi negatif di kalangan anggota polis.
'Undi pembangkang'
Beliau mengingatkan, jika IPCMC ditubuhkan, pasukan polis akan mengundi menyokong pembangkang dalam pilihanraya umum yang dijadualkan pada 2009, dan akan meminta pembangkang "memperjuangkan hak-hak polis di Parlimen.
Katanya, pihak polis juga kecewa kerana Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berdiam diri.
Jamaludin mengingatkan lagi, jika IPCMC ditubuhkan, pegawai tinggi polis akan meletakkan jawatan, anggota polis bekerja mengikut masa dan menuntut kerja lima hari seminggu, lapan jam sehari.
Selain PDRM, beberapa ahli Parlimen Umno turut membantah keras cadangan tersebut, walaupun Perdana Menteri telah memberi lampu hijau penubuhannya. Manakala pihak pembangkang dan badan-badan sivil lain mahu ianya ditubuhkan segera.
Kerajaan kemudiannya menyatakan, pihaknya juga sedang menimbang menubuhkan badan 'ombudsman' untuk memantau agensi-agensi penguatkuasa kerajaan. Bagaimanapun badan-badan sivil, dalam reaksi mereka berkata, kerajaan tidak sepatutnya menubuhkan ombudsman bagi menggantikan IPCMC.
Suruhanjaya tersebut disyorkan ditubuhkan pada bulan Mei, tetapi sewaktu sidang Dewan Rakyat berakhir pada 11 Mei lalu, pihak kerajaan tidak dapat membentangkan rang undang-undang penubuhan IPCMC. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.