Ops Warta IV berakhir hari ini namun masih ada 101 saman trafik yang belum dibayar oleh para menteri yang melakukan kesalahan trafik.

Jumlah itu menunjukkan penurunan hampir 90 peratus daripada 999 saman trafik yang dikeluarkan kepada para menteri sebelum ini.

Antara menteri yang namanya masih dalam senarai saman ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib sebelum ini telah mengarahkan anggota kabinet yang terkenan saman supaya membayar saman-saman mereka.

Daripada 32 anggota kabinet, sembilan orang masih tersenarai dalam senarai orang-orang yang berhutang saman trafik dengan kerajaan. Mereka ialah Menteri Kebudayaan, Seni dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (24 saman), Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi, Datuk Khaled Nordin (18 saman), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Safie Apdal (17 saman), Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor (17 saman) dan Najib (14 saman).

Menteri lain ialah Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (5 saman), Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek (3 saman), Menteri Perladangan, Industri dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui (2 saman) dan Menteri Belia dan Sukanh, Datuk Azalina Othman (1 saman).

Jumlah saman yang belum dilunaskan oleh para menteri ini berjumlah RM10,790. Semua saman itu dikenakan ke atas kenderaan yang didaftarkan di atas kad nama dengan nombor kad pengenalan lama mereka.

Najib sendiri berhutang saman trafik sebanyak RM1,65 0 bagi 14 saman yang belum berbayar. Saman-saman tersebut dikenakan sejak 14 Januari hingga yang terbaru pada 13 Disember 2004.

Jumlah saman belum berbayar itu menunjukkan pengurangan yang besar daripada RM124,850 yang dikenakan ke atas 23 orang menteri ketika isu ini didedahkan oleh malaysiakini baru-baru ini.