Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein menyifatkan dakwaan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Dr Wee Ka Siong bahawa terdapat guru berbangsa Cina dipaksa mengajar pelajaran Agama Islam kepada murid di sebuah sekolah sebagai sesuatu yang tidak berasas, berkepentingan peribadi dan bermotifkan politik.

"Bila anda campurkan agama dan politik, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. Ini satu amaran kepada Ahli Parlimen muda yang beraspirasi.

"Saya selaku Menteri Pelajaran tidak akan bertolak-ansur dengan hujahan sedemikian dan saya tidak akan melupainya," kata Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno Malaysia. Dr Wee (foto)adalah Ahli Parlimen Ayer Hitam.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata apa yang sebenarnya berlaku ialah guru wanita itu hanya diminta menjaga sementara kelas berkenaan pada permulaan penggal kerana bilik darjah masih belum diselaraskan.

"Selepas bilik darjah diselaraskan, guru berkenaan telah diminta mengajar subjek yang sepatutnya diajar oleh beliau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kampar hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) tidak akan memberi ruang kepada pemimpin rakus yang membangkitkan isu berbau perkauman semata-mata bagi mencari populariti di kalangan parti yang diwakili.

Kepentingan politik sementara

Katanya, para pemimpin muda tanpa mengira mana-mana parti, kaum atau agama yang diwakili tidak boleh memperjudikan masa depan negara semata-mata untuk kepentingan politik sementara.]

Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin telah mencetus kontroversi apabila beliau mengingatkan bahawa masyarakat Cina akan mengambil kesempatan jika Umno lemah.

Kenyataan itu dikecam hebat oleh para perwakilan di perhimpunan agung MCA baru-baru ini, apabila menantu Perdana Menteri itu enggan memohon maaf terhadap kenyataannya itu. Beliau turut menjadi sasaran perwakilan persidangan Pemuda dan Wanita Gerakan yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Hishammuddin mengingatkan bahawa memang mudah untuk menyuarakan (yang berbau perkauman) tetapi apabila jelas (ia) tidak merupakan suatu perkara yang berasas, kerosakan telahpun dilakukan.

"Dan dalam keadaan sebegitu pucuk pimpinan tidak akan melupai pemimpin-pemimpin yang rakus seperti ini," katanya.

Menurutnya sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin yang diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan ialah mereka yang bukan sahaja berani memperjuangkan apa yang perlu diperjuangkan tetapi pada masa sama dapat mengimbangi cara bagaimanan untuk memimpin sebuah negara yang kompleks dengan kepelbagaian kaum dan agama seperti Malaysia.

Hishammuddin berkata, beliau sentiasa mengingatkan ahli Umno supaya merapatkan barisan bagi memastikan kemenangan calon BN di dalam pilihanraya umum akan datang sebelum memperkatakan mengenai pemilihan parti.

"Sekiranya kita kalah, tidak mendapat mandat orang ramai (dan) saya bertanding sesuatu jawatan...bertanding untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda pun tidak akan bermakna kalau parti kalah, tidak dihormati, tidak diiktiraf, diperlekehkan dan tidak mendapat mandat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kemungkinan beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan Umno akan datang.