Ahli Umno Kubang Pasu buat aduan mengenai politik wang
Lima ahli Umno bahagian Kubang Pasu hari ini membuat aduan mengenai dakwaan berlakunya politik wang dalam proses pemilihan perwakilan ke perhimpunan agung Umno dalam mesyuarat bahagian tersebut pada 9 September lalu.
Lima ahli Umno bahagian Kubang Pasu hari ini membuat aduan mengenai dakwaan berlakunya politik wang dalam proses pemilihan perwakilan ke perhimpunan agung Umno dalam mesyuarat bahagian tersebut pada 9 September lalu.
Aduan itu diserahkan kepada Setiausaha Lembaga Disiplin Umno, Jamaluddin Aziz di Menara Datuk Onn pada kira-kira jam 11 pagi tadi.
Kelima-lima pengadu itu adalah perwakilan ke mesyuarat bahagian tersebut. Mereka mendakwa berlakunya sogokan wang, campurtangan orang luar dan ugutan dalam proses pemilihan perwakilan.
Menurut sumber, dua daripada aduan itu berkaitan dengan politik wang, dua lagi mengenai campurtangan orang luar dalam kempen pemilihan dan satu lagi berkaitan ugutan terhadap seorang perwakilan yang diarah supaya "berkurung di rumah" sepanjang proses pemilihan.
Difahamkan perwakilan yang diarahkan "berkurung" itu adalah seorang kakitangan kontrak Yayasan Tekun Malaysia yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.
Dalam pemilihan pada 9 September itu, bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad tewas apabila hanya menduduki tempat kesembilan dengan 227 undi manakala anaknya, Datuk Mukhriz terpilih di tempat kelima dengan 294 undi.
Setiap bahagian menghantar 13 orang perwakilan yang terdiri daripada tujuh perwakilan yang dipilih dalam mesyuarat umno bahagian (G7) dan enam lagi merupakan pemegang jawatan utama peringkat bahagian (G6).
Elemen politik wang
Sementara itu, laman berita "online" sun2surf pula melaporkan kumpulan lima orang pengadu itu diketuai oleh Aminuddin Omar dari Umno cawangan Kampung Lembah Arang, dalam bahagian Kubang Pasu.
Dalam laporannya, Aminuddin mendakwa wujud "elemen politik wang, penglibatan kakitangan jabatan dan agensi kerajaan serta individu luar dalam kempen untuk mengalahkan Dr Mahathir dalam pemilihan perwakilan itu baru-baru ini."
Mereka juga turut menemui Setiausaha Eksekutif Umno, Brigidier Jeneral (B) Datuk Husainay Hashim selepas selesai membuat aduan tersebut.
Dr Mahathir baru-baru ini mendakwa bahawa antara punca kegagalan beliau terpilih sebagai perwakilan dalam mesyuarat bahagian Kubang Pasu itu adalah perbuatan rasuah dan politik wang.
Beliau mendakwa, para perwakilan telah diberi sampul surat berwarna perang berisi wang RM200 menjelang pemilihan tersebut.
Bekas Perdana Menteri itu juga menunjukkan senarai calon pilihan yang diedarkan kepada para perwakilan yang diminta memilih calon nombor 2, 3, 4, 7, 8,11dan 14.
Dr Mahathir adalah calon nombor 1 dan Mukhriz nombor 10. Bagaimanapun Mukhriz berjaya terpilih sebagai perwakilan, menggantikan calon nombor 14.
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.