Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maaf rakyat tidak boleh terpedaya lagi, kata Zahid
Diterbitkan:  Aug 16, 2021 8:49 AM
Dikemaskini: 12:49 AM

KATA MP l Nada mereka mula berubah. Mula bertutur dalam nada sedih lagi pilu gara-gara sedang terdesak.

Harap maaf rakyat tidak boleh terpedaya lagi. Rakyat tahu ini cuma satu lagi permainan persepsi.

Hakikatnya rakyat lebih sedihkan berpuluh ribu mereka yang telah kehilangan orang tersayang angkara kerajaan gagal.

Saban hari ada rakyat kematian ibu, ayah, anak, isteri, suami, adik, abang, kakak akibat pandemik. Ini yang pilu.

Rakyat lebih sedihkan ramai yang kini hidup dalam kemiskinan, penderitaan dan kesengsaraan. Disebabkan oleh dasar dan polisi menguruskan pandemik yang bias serta beragendakan kepentingan politik.

Rakyat desak laksanakan "total lockdown", tetapi mereka laksanakan "total lockdown" suam-suam kuku.

Rakyat suruh tutup kilang bukan "essential", mereka tutup perniagaan-perniagaan kecil yang kurang berisiko.

Rakyat minta benarkan keluar wang KWSP, Menteri Kewangan kata KWSP bukan bank. Rakyat minta moratorium 2.0, kerajaan kata itu adalah mustahil.

Selepas diasak bertalu-talu baru mereka benarkan. Itupun selepas Institusi Diraja mula bersuara.

Ordinan Darurat pula seolah-olah diperkudakan untuk menggantung demokrasi.

Jauh berbeza seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong iaitu Ordinan Darurat untuk membendung penularan Covid-19.

Sepanjang pelaksanaan Ordinan Darurat jangkitan wabak malah semakin memburuk.

Semasa Ordinan Darurat bermula kes jangkitan harian sekitar 3,000 dan selepas lapan bulan pelaksanaannya cecah 21,000.

Kelihatan Ordinan Darurat lebih bermanfaat politik berbanding menyelamatkan rakyat dan negara.

Rakyat desak percepatkan pemberian vaksin macam-macam alasan diberi sehingga negara Eropah pun dijadikan kambing hitam.

Selepas kedudukan dan jawatan sudah tergugat baru kelam kabut dipercepatkan. Baru mempertimbangkan keluhan peniaga.

Bahaya kerajaan seperti ini. Kaki "spin". Jika mahu dirungkai satu persatu kegagalan panjang senarainya.

Maka rakyat sukar terpengaruh dengan cerita sedih mereka kerana rakyat ada masalah kepercayaan yang besar terhadap kerajaan PN.

Dan sebab itu juga Umno sebagai sebuah parti politik perlu bertindak demi memastikan nyawa rakyat dan nasib negara tidak terus dipertaruhkan.

Kepada Allah jua kita berserah.


AHMAD ZAHID HAMIDI adalah presiden Umno dan bekas timbalan perdana menteri.

Tulisan ini pertama kli dimuatnaikkan di Facebooknya dan ia adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS